Mazmur 136 Alkitab Berita Baik (BM)

Lagu Kesyukuran

1. Bersyukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik;kasih-Nya kekal abadi.

2. Bersyukurlah kepada Allah Yang Maha Tinggi;kasih-Nya kekal abadi.

3. Bersyukurlah kepada Tuhan Yang Maha Besar;kasih-Nya kekal abadi.

4. Hanya Dia yang melakukan keajaiban besar;kasih-Nya kekal abadi.

5. Dengan kebijaksanaan-Nya Dia menjadikan langit;kasih-Nya kekal abadi.

6. Dia menghamparkan bumi di atas air;kasih-Nya kekal abadi.

7. Dia menjadikan matahari dan bulan;kasih-Nya kekal abadi.

8. Dia menjadikan matahari untuk memerintah siang;kasih-Nya kekal abadi.

9. Dia menjadikan bulan dan bintang untuk memerintah malam;kasih-Nya kekal abadi.

10. Dia membunuh anak lelaki sulung orang Mesir;kasih-Nya kekal abadi.

11. Dia memimpin umat Israel keluar dari Mesir;kasih-Nya kekal abadi.

12. Dia melakukan semuanya dengan tangan yang kuat dan perkasa;kasih-Nya kekal abadi.

13. Dia membelah Laut Gelagah;kasih-Nya kekal abadi.

14. Dia memimpin umat-Nya melalui laut itu;kasih-Nya kekal abadi;

15. tetapi Dia menenggelamkan raja Mesir dan tenteranya;kasih-Nya kekal abadi.

16. Dia memimpin umat-Nya melalui gurun;kasih-Nya kekal abadi.

17. Dia membunuh raja-raja yang berkuasa;kasih-Nya kekal abadi.

18. Dia membunuh raja-raja yang termasyhur;kasih-Nya kekal abadi.

19. Dia membunuh Sihon, raja orang Amori;kasih-Nya kekal abadi.

20. Dia membunuh Og, raja negeri Basan;kasih-Nya kekal abadi.

21. Dia memberikan negeri mereka kepada umat-Nya;kasih-Nya kekal abadi.

22. Dia memberikannya kepada Israel, hamba-Nya;kasih-Nya kekal abadi.

23. Dia tidak melupakan kita apabila kita dikalahkan;kasih-Nya kekal abadi.

24. Dia membebaskan kita daripada musuh-musuh kita;kasih-Nya kekal abadi.

25. Dia memberikan makanan kepada semua makhluk hidup;kasih-Nya kekal abadi.

26. Bersyukurlah kepada Allah penguasa di syurga;kasih-Nya kekal abadi.