1-2. Hari berikutnya, Holofernes menyiapkan seluruh tenteranya dan pasukan-pasukan sekutunya. Tenteranya itu sangat besar jumlahnya, terdiri daripada pasukan tentera berjalan kaki sebanyak 120,000 orang dan pasukan berkuda sebanyak 12,000 orang, belum terhitung pasukan bantuan dan orang yang mengurus perlengkapan perang. Mereka disuruh berangkat ke Betulia untuk merebut semua jalan di gunung dan menyerang orang Israel. Maka berangkatlah mereka
3. dan berkhemah dekat dengan mata air di lembah tidak jauh dari Betulia. Mereka menduduki daerah yang sangat luas, yang meluas dari dekat Dotaim sampai Belbaim, dan memanjang dari Betulia hingga Kuamon yang letaknya berhadapan dengan Lembah Esdrelon.
4. Apabila melihat besarnya tentera itu, orang Israel sangat ketakutan dan berkata-kata sesama mereka, “Askar-askar itu akan menelan segala-galanya. Di seluruh pergunungan, lembah-lembah, dan bukit-bukit ini tak ada cukup makanan untuk tentera sebesar itu.”
5. Lalu semua orang Israel mengangkat senjata mereka, memasang api pemberi isyarat di atas menara-menara mereka dan berjaga sepanjang malam.
6. Hari berikutnya, Holofernes keluar dengan seluruh pasukan berkudanya supaya terlihat oleh orang Israel di Betulia.
7. Diperiksanya semua jalan ke kota itu dan semua mata air yang memberi persediaan air kepada penduduknya. Lalu ditempatkannya beberapa pasukan askar untuk menjaga tempat-tempat itu, dan selepas itu dia kembali kepada pasukannya.
8. Kemudian semua ketua suku bangsa Edom dan Moab berserta para panglima dari pantai Laut Tengah datang menghadap Holofernes dan berkata,
9. “Sudilah tuan mendengar nasihat kami supaya tentera tuan tak ditimpa bencana.
10. Orang Israel tak terlalu bergantung kepada senjata mereka, melainkan pergunungan tinggi yang didiami oleh mereka, kerana gunung-gunung itu sukar didaki.
11. Oleh sebab itu tuan jangan adakan serangan langsung, supaya tentera tuan tiada yang gugur.
12. Hendaklah tuan tinggal saja di perkhemahan tuan, dan biarkan para askar tinggal di perkhemahan mereka. Suruhlah hamba-hamba tuan ini menjaga semua mata air di kaki pergunungan,
13. kerana ke situlah penduduk Betulia pergi mengambil air. Nanti kalau mereka sudah hampir mati kehausan, mereka akan menyerahkan kota mereka kepada tuan. Sementara itu kami dan orang kami akan naik ke puncak-puncak gunung dekat sini. Kami akan berkhemah di situ dan berjaga-jaga, supaya tiada orang yang meninggalkan kota.
14. Semua orang, wanita dan anak-anak akan merana kelaparan. Bahkan sebelum diserang, mereka akan terbaring di jalan-jalan.
15. Dengan cara itu tuan dapat menghukum mereka kerana mereka memberontak dan tak mahu menyerah dengan damai kepada tuan.”
16. Holofernes dan semua pegawainya suka dengan usul itu, maka diperintahkannya supaya segera dilaksanakan.
17. Pasukan orang Amon dan 5,000 orang Asyur memindahkan perkhemahan mereka ke lembah untuk menguasai mata air penduduk kota.
18. Orang Edom dan orang Amon naik ke pergunungan dan berkhemah di situ berhadapan dengan kota Dotaim. Beberapa orang antara mereka dikirim ke tenggara, ke arah Egrebel dekat dengan Husa yang terletak di tepi Sungai Mokhmur. Pasukan Asyur lainnya berkhemah di lembah. Kawasan itu penuh dengan mereka, oleh sebab khemah dan perlengkapan perang mereka sangat banyak jumlahnya.
19. Lalu orang Israel berseru kepada Allah mereka untuk meminta pertolongan. Mereka sudah tawar hati kerana dikepung musuh dari setiap penjuru dan tidak ada kemungkinan untuk melepaskan diri.
20. Seluruh tentera Asyur, pasukan tentera berjalan kaki, kereta kuda perang dan pasukan berkuda, mengepung Betulia selama tiga puluh empat hari sampai kota itu kehabisan air. Semua balang air
21. dan perigi-perigi mulai kosong, sehingga air minum harus dicatu dan tiada seorang pun dapat minum sehingga puas.
22. Anak-anak menjadi lemah; kaum wanita dan orang muda merana sehingga jatuh pengsan di jalan-jalan kota dan di pintu gerbang. Mereka semua sudah kehabisan tenaga.
23. Lalu seluruh penduduk kota, lelaki, wanita, dan anak-anak menghadap Uzia dan para pemimpin kota. Dengan suara nyaring mereka berseru,
24. “Semoga Allah menghakimi tuan-tuan kerana mendatangkan bencana besar terhadap kami dan tak mahu merundingkan perdamaian dengan orang Asyur.
25. Sekarang tiada yang mahu menolong kita! Allah sudah menyerahkan kita ke dalam kekuasaan mereka. Kita sudah kehabisan tenaga dan hampir mati kehausan.
26. Panggillah orang Asyur sekarang! Biarlah kita menyerah diri saja kepada mereka. Biarkan Holofernes dan tenteranya mengambil kota ini dan merompaknya.
27. Lebih baik kita menjadi tawanan perang. Biarlah kita dijadikan hamba abdi, asal saja kita dapat hidup terus, dan tak usah melihat anak isteri kita mati.
28. Langit dan bumi menjadi saksi terhadap tuan-tuan, demikian juga Allah kita, Tuhan nenek moyang kita yang menghukum kita kerana dosa-dosa mereka mahupun dosa-dosa kita sendiri. Semoga malapetaka itu tak menimpa kita hari ini!”
29. Lalu semua orang di situ mula meratap dan berdoa kepada Tuhan Allah dengan suara nyaring.
30. Kemudian Uzia berkata kepada mereka, “Jangan putus asa, saudara-saudara! Baiklah kita tunggu lima hari lagi untuk melihat sama ada Tuhan, Allah kita akan mengasihani kita, kerana Dia tak akan meninggalkan kita sama sekali.
31. Tapi kalau sesudah lima hari tak ada bantuan, saya akan melakukan apa yang saudara-saudara usulkan.”
32. Lalu Uzia menyuruh semua orang itu pergi. Semua lelaki kembali ke tempat penjagaan masing-masing di tembok kota dan menara, sedangkan kaum wanita dan anak-anak disuruh pulang ke rumah mereka. Seluruh penduduk kota itu dalam keadaan sedih dan tertekan.