1. Khabar tentang Holofernes, panglima tinggi Raja Nebukadnezar, sampai kepada penduduk Yudea. Mereka mendengar apa yang telah dilakukannya terhadap bangsa-bangsa lain, dan bagaimana dia menjarah serta menghancurkan semua tempat pemujaan mereka.
2. Maka penduduk Yudea itu sangat ketakutan. Mereka cemas memikirkan apa yang mungkin dilakukan Holofernes terhadap Yerusalem dan Rumah Tuhan, Allah mereka.
3. Mereka belum lama pulang daripada pembuangan, dan baru sahaja umat Yehuda berkumpul kembali. Lagi pula Rumah Allah berserta perlengkapan dan mazbahnya baru sahaja disucikan semula daripada pencemaran.
4. Oleh sebab itu mereka mengirim khabar ke seluruh wilayah Samaria dan ke kota-kota Kona, Bet-Horon, Belmain, Yerikho, Hoba, Aisora, dan Lembah Salem.
5. Lalu mereka segera menduduki puncak gunung-gunung yang tinggi dan memperkuat desa-desa di pergunungan. Mereka juga mengumpulkan bekalan makanan sebagai persiapan perang, oleh sebab mereka baru sahaja mengumpulkan hasil dari ladang-ladang mereka.
6. Imam Agung Yoyakim, yang pada waktu itu ada di Yerusalem, menulis kepada penduduk kota-kota Betulia dan Betomestaim yang letaknya berhadapan dengan lembah Esdrelon dekat dengan Dotaim.
7. Dia menyuruh mereka menduduki semua jalan di pergunungan yang menuju ke Yudea. Di situ lebih mudah menahan serangan, oleh sebab semua jalan masuk itu sempit dan hanya dapat dilalui oleh dua orang sahaja.
8. Orang Israel melakukan perintah Imam Agung Yoyakim serta Majlis Kaum Tua-Tua yang berkedudukan di Yerusalem.
9. Kemudian orang Israel berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Allah dan giat berpuasa.
10. Semua orang Israel, anak isteri mereka, ternakan mereka, orang upahan dan hamba sahaya mereka, serta orang asing yang tinggal menetap bersama dengan mereka, memakai kain guni tanda bersedih.
11-12. Mazbah juga ditutup dengan kain guni. Lalu semua orang laki-laki, wanita, dan anak-anak di Yerusalem meniarap di hadapan Rumah Allah. Mereka menaburi kepala mereka dengan abu dan membentangkan kain guni masing-masing di hadapan Tuhan. Semuanya bersatu dalam doa kepada Allah Israel dan memohon kepada-Nya supaya jangan biarkan anak-anak mereka dirampas, isteri-isteri mereka dibawa pergi, dan kota-kota tanah air mereka dihancurkan. Mereka mohon dengan bersungguh-sungguh supaya bangsa-bangsa yang tidak bertuhan itu tidak dapat bersukaria kerana menghina dan mencemar Rumah Allah.
13. Tuhan mendengarkan doa-doa mereka dan memperhatikan kesedihan mereka. Berhari-hari lamanya penduduk Yudea dan Yerusalem berpuasa di hadapan Rumah Tuhan Yang Maha Kuasa.
14. Imam Agung Yoyakim, para imam dan semua yang menyelenggarakan ibadat di Rumah Tuhan, memakai kain guni tanda bersedih pada waktu mempersembahkan korban harian untuk menyenangkan hati Tuhan, korban sukarela rakyat, dan korban untuk menunaikan nazar.
15. Mereka menaburkan abu di atas serban mereka dan berdoa kepada Tuhan dengan suara nyaring supaya Dia datang menyelamatkan bangsa Israel.