1. Pada waktu Onias menjadi Imam Agung di Yerusalem, kota itu aman dan makmur. Hukum-hukum ditaati dengan sungguh-sungguh, oleh sebab Onias salih dan benci akan kejahatan.
2. Raja-raja Siria dan Mesir menghormati kota itu serta Rumah Tuhan dengan mengirimkan hadiah-hadiah yang berharga;
3. juga Raja Seleukus, raja Asia Barat Daya, yang membiayai semua perbelanjaan korban untuk ibadat di Rumah Tuhan daripada pendapatannya sendiri.
4. Tetapi seorang yang bernama Simon daripada suku Benyamin yang dilantik menjadi pengurus Rumah Tuhan, berselisih faham dengan Onias tentang pentadbiran pasar di kota.
5. Oleh sebab Simon tidak dapat mengalahkan Onias, dia pergi menghadap Apolonius anak Traseus yang pada waktu itu menjadi gabenor Siria Besar dan Fenisia.
6. Simon memberitahu Apolonius bahawa perbendaharaan Rumah Tuhan di Yerusalem berisi harta yang berlimpah-limpah sehingga tidak dapat dihitung. Dikatakannya juga bahawa wang itu tidak digunakan untuk perbelanjaan korban, maka dicadangkannya harta itu diletakkan di bawah kekuasaan raja.
7. Kemudian Apolonius menghadap raja dan menceritakan perihal harta itu kepada baginda. Maka raja mengutus Heliodorus, perdana menteri baginda untuk mengusahakan pengambilan harta itu.
8. Heliodorus segera berangkat untuk melaksanakan tugas itu, tetapi dia menyembunyikan tujuannya dengan memberi alasan hendak meninjau kota-kota di wilayah Siria Besar dan Fenisia.
9. Setibanya di Yerusalem, dia disambut dengan mesra oleh Imam Agung. Lalu Heliodorus menyatakan maksud kedatangannya yang sebenar, dan dia bertanya sama ada laporan yang telah diterimanya itu benar.
10-11. Imam Agung menerangkan bahawa apa yang dikatakan oleh Simon si penjahat itu, tidaklah benar. Memang ada wang dalam perbendaharaan Rumah Tuhan, tetapi sebahagian wang itu disisihkan untuk para janda dan yatim piatu, dan sebahagian lagi kepunyaan Hirkanus anak Tobias, seorang terkemuka. Dia juga menegaskan bahawa jumlah seluruhnya hanya 14,000 kilogram perak dan 7,000 kilogram emas.
12. Dikatakannya juga bahawa sungguh mustahil jika berbuat tidak adil terhadap orang yang menaruh kepercayaan pada kesucian dan kekebalan Rumah Tuhan yang dihormati di seluruh dunia.
13. Tetapi Heliodorus berkata bahawa bagaimanapun juga, wang itu harus diserahkan untuk perbendaharaan istana seperti yang diperintahkan raja.
14. Maka pada hari yang ditetapkannya, dia masuk ke dalam Rumah Tuhan untuk mengawasi penghitungan wang itu. Hal itu menimbulkan kecemasan besar di seluruh kota.
15. Imam-imam dengan pakaian ibadat meniarap di hadapan mazbah. Mereka memohon kepada Allah supaya Dia menjaga harta di dalam Rumah-Nya, oleh sebab Dia sendiri telah menetapkan undang-undang untuk melindungi harta yang disimpan di dalam Rumah Tuhan.
16. Setiap orang yang melihat Imam Agung berasa pilu. Mukanya yang pucat menampakkan kesengsaraannya.
17. Badannya gementar ketakutan membayangkan penderitaan batinnya.
18. Rakyat berduyun-duyun meninggalkan rumah mereka hendak berdoa bersama-sama supaya Rumah Tuhan tidak dicemarkan.
19. Jalan-jalan dibanjiri oleh orang perempuan yang memakai kain guni pada pinggang sebagai tanda kesedihan. Antara gadis-gadis yang dipingit ada yang lari ke pintu rumah, ada yang berdiri di atas pagar dan ada pula yang menjenguk dari jendela.