Wahyu 13:10-18 Alkitab Berita Baik (BM)

10. Sesiapa yang harus ditawan, pasti akan ditawan; sesiapa yang harus dibunuh dengan pedang, pasti akan dibunuh dengan pedang. Itulah sebabnya umat Allah mesti tabah hati dan setia kepada Kristus.”

11. Lalu aku nampak seekor binatang lain keluar dari dalam bumi. Binatang itu mempunyai dua tanduk seperti tanduk anak domba, dan suaranya seperti suara naga.

12. Binatang ini menggunakan kekuasaan besar binatang pertama itu di depan matanya. Semua penduduk dunia dipaksa untuk menyembah binatang pertama, yang luka parahnya sudah sembuh.

13. Binatang kedua ini melakukan mukjizat-mukjizat yang hebat. Di hadapan semua orang, api diturunkannya dari langit ke bumi.

14. Binatang kedua ini diizinkan oleh Allah untuk melakukan mukjizat-mukjizat di hadapan binatang pertama. Dengan mukjizat-mukjizat itu, binatang kedua ini menipu semua orang yang hidup di bumi dan menyuruh mereka membuat sebuah patung untuk menghormati binatang pertama yang sudah dilukai oleh pedang, tetapi tetap hidup.

15. Binatang kedua ini dibolehkan memberikan nyawa kepada patung itu, sehingga patung itu dapat berkata-kata dan membunuh semua orang yang tidak mahu menyembahnya.

16. Binatang kedua ini memaksa semua orang: orang biasa dan orang besar, orang kaya dan orang miskin, abdi dan orang bebas, supaya menerima tanda pada tangan kanan atau dahi mereka.

17. Tidak seorang pun dapat membeli ataupun menjual sesuatu, kecuali dia mempunyai tanda itu, iaitu nama binatang itu sendiri atau nombor yang melambangkan nama itu.

18. Hal ini memerlukan kebijaksanaan. Sesiapa yang bijak dapat memahami erti nombor binatang itu, kerana nombor itu melambangkan nama seorang manusia. Nombor itu 666.

Wahyu 13