15. Empat orang pemimpin itu dipilih untuk memberikan pakaian daripada barang jarahan kepada orang tawanan yang tidak berpakaian. Mereka juga diberikan pakaian dan kasut, makanan dan minuman. Luka-luka mereka diubati dengan minyak zaitun. Orang yang terlalu lemah untuk berjalan dinaikkan ke atas keldai, dan semua orang tawanan itu dibawa semula ke wilayah Yehuda, ke kota Yerikho, iaitu kota pokok kurma. Kemudian orang Israel pulang semula ke Samaria.
16-17. Orang Edom mulai lagi menyerang Yehuda dan menawan banyak orang. Oleh itu Raja Ahas meminta pertolongan daripada Raja Tiglat-Pileser, raja negeri Asyur.
18. Sementara itu orang Filistin sedang menyerang kota-kota di daerah kaki bukit di sebelah barat dan di bahagian selatan Yehuda. Mereka merampas kota Bet-Semes, Ayalon dan Gederot, dan juga kota Sokho, Timna, dan Gomzo serta pekan-pekan di sekitar kota-kota itu, lalu mereka menetap di sana.
19. Oleh sebab Raja Ahas penguasa dari Yehuda itu meninggalkan TUHAN dan tidak menghormati hak rakyat, maka TUHAN mendatangkan kesusahan di Yehuda.
20. Raja Asyur datang bukan untuk menolong Raja Ahas, melainkan untuk menyusahkan baginda.
21. Oleh itu Raja Ahas mengambil emas dari Rumah TUHAN, istana, dan rumah para pemimpin rakyat, lalu memberikan semuanya kepada raja Asyur, tetapi usaha Raja Ahas itu sia-sia sahaja.
22. Dalam keadaan yang sangat susah itu, Raja Ahas malah semakin berdosa terhadap TUHAN.
23. Baginda mempersembahkan korban kepada dewa-dewa orang Siria yang telah mengalahkan baginda. Raja Ahas bertitah, “Dewa-dewa orang Siria telah menolong raja-raja Siria. Jika beta mempersembahkan korban kepada dewa-dewa itu, beta juga akan ditolong.” Perbuatan itu mendatangkan bencana terhadap dirinya dan rakyatnya.
24. Selain itu, Raja Ahas mengambil semua perkakas Rumah TUHAN dan menghancurkannya. Baginda menutup Rumah TUHAN, lalu membina mazbah-mazbah di seluruh Yerusalem.
25. Baginda membina tempat-tempat penyembahan berhala di tiap-tiap kota dan pekan di Yehuda; orang membakar kemenyan bagi dewa bangsa lain di atas mazbah-mazbah itu. Dengan demikian baginda menyebabkan TUHAN, Allah nenek moyangnya murka terhadap dirinya.
26. Semua perbuatannya yang lain pada masa pemerintahannya, dari permulaan hingga akhir, tercatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Yehuda dan Israel.
27. Raja Ahas mangkat lalu dimakamkan di Yerusalem, tetapi bukan di makam diraja. Puteranya Hizkia menggantikan baginda sebagai raja.