18. Inilah peluang kamu. Ingatlah bahawa TUHAN sudah berjanji demikian, ‘Aku akan menggunakan hamba-Ku Daud untuk menyelamatkan umat-Ku Israel daripada orang Filistin dan daripada semua musuh yang lain.’ ”
19. Abner juga berunding dengan suku Benyamin, kemudian dia pergi ke Hebron untuk memberitahu Raja Daud apa yang sudah disetujui oleh orang Israel dan suku Benyamin.
20. Apabila Abner bersama dengan dua puluh orang anak buahnya menghadap Raja Daud di Hebron, Raja Daud mengadakan jamuan untuk mereka.
21. Selepas itu Abner berkata kepada Raja Daud, “Izinkanlah hamba pergi untuk mengajak seluruh Israel supaya bergabung dengan tuanku. Mereka akan menerima tuanku sebagai raja, dan dengan demikian tuanku akan memerintah seluruh negeri, sesuai dengan kehendak tuanku.” Kemudian Raja Daud membenarkan Abner pergi dan menjamin keselamatannya.
22. Kemudian Yoab bersama dengan anak buah Raja Daud yang lain, kembali dari penyerbuan dan membawa pulang banyak barang jarahan, tetapi Abner sudah pergi dari Hebron. Raja Daud sudah membenarkan Abner pergi dan menjamin keselamatannya.
23. Apabila Yoab dan pasukannya tiba, dia diberitahu bahawa Abner telah menghadap Raja Daud, dan baginda membenarkan dia pergi serta menjamin keselamatannya.
24. Oleh itu Yoab menghadap raja dan berkata, “Mengapa tuanku berbuat demikian? Abner telah datang menghadap tuanku. Mengapa tuanku membenarkan dia pergi begitu saja?
25. Tentu tuanku tahu bahawa kedatangan Abner itu hanya untuk menipu tuanku, dan untuk mengetahui tempat-tempat yang tuanku pergi, serta segala perbuatan tuanku.”
26. Setelah meninggalkan Raja Daud, Yoab mengirim utusan untuk memanggil Abner. Mereka menyusul Abner dekat perigi Sira, lalu mereka membawanya kembali. Semua hal itu terjadi tanpa diketahui oleh Raja Daud.
27. Sebaik sahaja Abner tiba di Hebron, Yoab mengajak dia ke pinggir pintu gerbang, seolah-olah dia hendak bercakap bersendirian dengannya. Tiba-tiba Yoab menikam perut Abner sampai dia mati. Demikianlah Abner mati dibunuh oleh Yoab untuk membalas dendam terhadap pembunuhan Asael, adiknya.
28. Apabila Raja Daud mendengar hal itu, baginda bertitah, “TUHAN tahu bahawa rakyat dan beta tidak bersalah terhadap pembunuhan Abner.
29. Biarlah Yoab dan keluarganya dihukum kerana perbuatannya itu. Biarlah dalam keluarga Yoab turun-temurun selalu ada orang yang menghidap penyakit kelamin, atau yang menderita penyakit kulit yang mengerikan, atau lelaki yang tidak bertenaga, atau yang terbunuh dalam pertempuran atau yang kekurangan makanan!”
30. Demikianlah Yoab dan Abisai membalas dendam terhadap Abner kerana dia telah membunuh Asael, adik mereka dalam pertempuran di Gibeon.
31. Kemudian Raja Daud menyuruh Yoab dan anak buahnya mengoyak pakaian mereka, dan memakai kain guni serta meratapi Abner. Pada masa pengebumian, Raja Daud sendiri berjalan di belakang peti jenazah.