1. Pertempuran antara penyokong keluarga Raja Saul dan penyokong Raja Daud terus berlangsung untuk masa yang lama. Raja Daud semakin kuat, sedangkan lawannya semakin lemah.
2. Inilah enam orang putera Raja Daud yang dilahirkan di Hebron menurut urutan kelahiran mereka:Amnon, ibunya ialah Ahinoam dari Yizreel;
3. Kileab, ibunya ialah Abigail, balu Nabal dari Karmel;Absalom, ibunya ialah Maakha, puteri Raja Talmai dari Gesur;
4. Adonia, ibunya ialah Hagit;Sefaca, ibunya ialah Abital;
5. dan Yitream, ibunya ialah Egla. Keenam-enam orang putera itu dilahirkan di Hebron.
6. Sementara pertempuran terus berlangsung antara penyokong Raja Daud dan penyokong keluarga Raja Saul, Abner berusaha supaya pengaruhnya semakin besar di kalangan penyokong Raja Saul.
7. Pada suatu hari, Raja Isyboset putera Raja Saul menuduh Abner meniduri seorang gundik Raja Saul yang bernama Rizpa anak Aya.
8. Tuduhan itu membuat Abner naik marah. Katanya, “Adakah tuanku berfikir bahawa hamba mengkhianati Raja Saul dan memihak kepada Yehuda? Sejak dahulu hamba telah setia kepada Raja Saul ayahanda tuanku, dan saudara-saudara baginda, dan juga sahabat-sahabat baginda. Hamba sudah menyelamatkan tuanku daripada dikalahkan oleh Raja Daud. Meskipun begitu tuanku menyalahkan hamba hanya kerana persoalan perempuan!
11. Raja Isyboset begitu takut terhadap Abner sehingga baginda tidak berani berkata apa-apa.
12. Kemudian Abner mengirim utusan kepada Raja Daud yang ketika itu berada di Hebron, dengan membawa pesan, “Siapakah yang akan memerintah negeri ini? Buatlah perjanjian dengan hamba, maka hamba akan menolong tuanku menguasai seluruh Israel.”
13. Raja Daud menjawab, “Baiklah! Beta akan membuat perjanjian dengan kamu dengan satu syarat: Kamu mesti membawa Mikhal, puteri Raja Saul, kepada beta apabila kamu menghadap beta.”
14. Raja Daud juga mengirim utusan kepada Raja Isyboset, dengan membawa pesan, “Kembalikanlah isteri beta, Mikhal, kepada beta. Beta membayar seratus kulit khatan orang Filistin untuk mengahwininya.”
15. Oleh itu Raja Isyboset menyuruh utusan baginda mengambil Mikhal daripada suaminya, Paltiel anak Lais.
16. Tetapi Paltiel mengikuti Mikhal sambil menangis. Ketika mereka sampai di kota Bahurim, Abner berkata kepada Paltiel, “Sudahlah, pulang saja!” Kemudian Paltiel pulang.
17. Abner menghadap para pemimpin Israel dan berkata kepada mereka, “Sudah lama kamu ingin supaya Raja Daud menjadi raja kamu.
18. Inilah peluang kamu. Ingatlah bahawa TUHAN sudah berjanji demikian, ‘Aku akan menggunakan hamba-Ku Daud untuk menyelamatkan umat-Ku Israel daripada orang Filistin dan daripada semua musuh yang lain.’ ”
19. Abner juga berunding dengan suku Benyamin, kemudian dia pergi ke Hebron untuk memberitahu Raja Daud apa yang sudah disetujui oleh orang Israel dan suku Benyamin.
20. Apabila Abner bersama dengan dua puluh orang anak buahnya menghadap Raja Daud di Hebron, Raja Daud mengadakan jamuan untuk mereka.