2 Samuel 2:13-32 Alkitab Berita Baik (BM)

13. Yoab (ibunya bernama Zeruya), bersama dengan beberapa orang pegawai Raja Daud, menuju ke kota itu juga. Kedua-dua pasukan itu berhadapan di kolam Gibeon; Abner dan pasukannya duduk di sebelah sini, sedangkan Yoab dan pasukannya di sebelah sana.

14. Kemudian Abner berkata kepada Yoab, “Marilah kita suruh beberapa orang anak buah kita bertanding dengan menggunakan senjata.”“Baiklah,” jawab Yoab.

15. Oleh itu dua belas orang yang mewakili Raja Isyboset dan suku Benyamin, berlawan dengan dua belas orang anak buah Raja Daud.

16. Mereka saling mencengkam kepala dan saling menikam perut lawan, sehingga mereka semua mati. Maka tempat di Gibeon itu dinamakan “Ladang Pedang.”

17. Selepas itu pertempuran sengit berlaku. Abner dan pasukan Israel dikalahkan oleh pasukan anak buah Raja Daud.

18. Ketiga-tiga anak lelaki Zeruya berada di sana: Yoab, Abisai, dan Asael. Asael, yang dapat berlari sepantas kijang,

19. mula mengejar Abner dengan tidak berhenti-henti.

20. Abner menoleh ke belakang dan bertanya, “Engkaukah itu Asael?”“Ya,” jawabnya.

21. “Jangan kejar aku!” kata Abner. “Kejarlah salah seorang askar lain dan ambillah senjatanya.” Tetapi Asael tetap mengejar dia.

22. Sekali lagi Abner berkata kepadanya, “Jangan kejar aku! Jangan paksa aku membunuh engkau! Bagaimana aku dapat berhadapan muka dengan abangmu Yoab nanti?”

23. Tetapi Asael masih juga mengejar dia. Maka Abner melemparkan tombaknya ke belakang, dan perut Asael terkena sehingga tombak itu tembus ke belakangnya. Asael rebah ke tanah lalu mati di situ juga. Semua orang yang sampai ke tempat dia terlentang itu berhenti dan berdiri di situ.

24. Yoab dan Abisai terus mengejar Abner. Apabila matahari terbenam mereka sampai di Bukit Ama, yang terletak di sebelah timur Giah, di jalan menuju ke kawasan gurun Gibeon.

25. Di sana orang daripada suku Benyamin bergabung lagi dengan Abner, lalu mengatur barisan mereka di puncak sebuah bukit.

26. Dari sana, Abner berseru kepada Yoab, “Haruskah kita bertempur selama-lamanya? Tidak sedarkah kamu bahawa pertempuran ini hanya membawa kepahitan? Kami saudara sebangsa kamu. Berapa lama lagi kamu menunggu sebelum memerintahkan anak buahmu berhenti mengejar kami?”

27. Yoab menjawab, “Aku bersumpah demi Allah yang hidup, jika kamu tidak berkata demikian, tentu anak buahku akan mengejar kamu sehingga esok pagi.”

28. Kemudian Yoab meniup trompet sebagai tanda kepada anak buahnya untuk berhenti mengejar orang Israel, lalu pertempuran itu berhenti.

29. Abner dan anak buahnya berjalan melalui Lembah Yordan sepanjang malam itu. Mereka menyeberangi Sungai Yordan, dan setelah berjalan sepanjang hari berikutnya, mereka tiba di Mahanaim.

30. Apabila Yoab berhenti mengejar Abner, dia mengumpulkan semua anak buahnya. Yoab mendapati bahawa dia kehilangan sembilan belas orang daripada pasukannya, selain Asael.

31. Anak buah Raja Daud telah membunuh 360 orang daripada pasukan Abner yang terdiri daripada suku Benyamin.

32. Selepas itu Yoab dan anak buahnya mengambil jenazah Asael dan mengebumikannya di perkuburan keluarganya di Betlehem. Kemudian mereka berjalan sepanjang malam, dan esoknya pada waktu fajar, mereka tiba di Hebron.

2 Samuel 2