2 Raja-Raja 20:4-17 Alkitab Berita Baik (BM)

4. Yesaya meninggalkan raja, tetapi sebelum Yesaya keluar melalui halaman tengah istana itu, TUHAN menyuruh dia

5. kembali kepada Raja Hizkia, raja umat TUHAN. Yesaya menyampaikan firman ini kepadanya, “Demikianlah firman TUHAN, Allah nenek moyang tuanku Daud, ‘Aku telah mendengarkan doamu. Aku nampak air matamu. Aku akan menyembuhkan engkau dan dalam tiga hari engkau akan pergi ke Rumah TUHAN.

6. Aku akan menambah usiamu selama lima belas tahun. Aku akan menyelamatkan engkau dan kota Yerusalem ini daripada raja Asyur. Aku akan membela kota ini demi kehormatan-Ku sendiri dan juga kerana janji-Ku kepada hamba-Ku Daud.’ ”

7. Selepas itu Yesaya menyuruh orang melumatkan buah ara dan mengoleskannya pada bisul raja supaya baginda sembuh.

8. Raja Hizkia bertanya, “Apakah tandanya bahawa TUHAN akan menyembuhkan beta dan tiga hari kemudian beta dapat pergi ke Rumah TUHAN?”

9. Yesaya menjawab, “TUHAN akan memberikan satu tanda kepada tuanku untuk membuktikan bahawa Dia akan menepati janji-Nya. Manakah yang tuanku lebih sukai: bayangan pada penunjuk jam matahari maju sepuluh garis atau undur sepuluh garis?”

10. Raja Hizkia menjawab, “Lebih mudah untuk membuat bayangan maju sepuluh garis. Buatlah supaya bayangan undur sepuluh garis!”

11. Yesaya berdoa kepada TUHAN, lalu TUHAN membuat bayangan itu undur sepuluh garis pada penunjuk jam matahari yang dibina oleh Raja Ahas.

12. Kira-kira pada masa itu, Raja Merodakh-Baladan anak Baladan, raja Babilonia, mendengar bahawa Raja Hizkia gering. Oleh itu raja Babilonia mengirim sepucuk surat dan sebuah hadiah kepada Raja Hizkia.

13. Raja Hizkia menyambut kedatangan para utusan itu dan menunjukkan segala kekayaannya kepada mereka - perak dan emasnya, rempah-rempah dan minyak wangi, serta segala perlengkapan tenteranya. Tiada satu pun di gudang atau di seluruh kerajaan baginda yang tidak ditunjukkan kepada mereka.

14. Kemudian Nabi Yesaya menghadap Raja Hizkia dan bertanya, “Dari manakah semua orang ini, dan apa kata mereka?”Raja Hizkia menjawab, “Mereka datang dari Babilonia, negeri yang sangat jauh.”

15. “Apakah yang dilihat mereka di istana?”“Mereka melihat segala-galanya. Tiada satu pun di gudang yang tidak beta tunjukkan kepada mereka,” jawab Raja Hizkia.

16. Lalu Yesaya berkata kepada raja, “Menurut firman TUHAN,

17. masanya akan tiba apabila segala sesuatu yang ada di istana tuanku, segala yang telah dikumpulkan nenek moyang tuanku hingga hari ini, akan dibawa ke Babilonia. Tiada satu pun yang tinggal.

2 Raja-Raja 20