2 Raja-Raja 20:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Kira-kira pada masa itu Raja Hizkia gering dan hampir mangkat. Nabi Yesaya anak Amos menemui raja lalu berkata kepada baginda, “Menurut firman TUHAN, hendaklah tuanku selesaikan segala urusan tuanku, kerana tuanku tidak akan sembuh. Tuanku akan mangkat.”

2. Raja Hizkia memalingkan mukanya ke tembok lalu berdoa,

3. “Ingatlah, ya TUHAN, bahawa aku telah mengabdi kepada-Mu dengan taat dan setia, dan bahawa aku sentiasa berusaha untuk melakukan kehendak-Mu.” Lalu raja menangis dengan pilu.

4. Yesaya meninggalkan raja, tetapi sebelum Yesaya keluar melalui halaman tengah istana itu, TUHAN menyuruh dia

5. kembali kepada Raja Hizkia, raja umat TUHAN. Yesaya menyampaikan firman ini kepadanya, “Demikianlah firman TUHAN, Allah nenek moyang tuanku Daud, ‘Aku telah mendengarkan doamu. Aku nampak air matamu. Aku akan menyembuhkan engkau dan dalam tiga hari engkau akan pergi ke Rumah TUHAN.

6. Aku akan menambah usiamu selama lima belas tahun. Aku akan menyelamatkan engkau dan kota Yerusalem ini daripada raja Asyur. Aku akan membela kota ini demi kehormatan-Ku sendiri dan juga kerana janji-Ku kepada hamba-Ku Daud.’ ”

7. Selepas itu Yesaya menyuruh orang melumatkan buah ara dan mengoleskannya pada bisul raja supaya baginda sembuh.

2 Raja-Raja 20