2. “Kamu wali kepada keturunan raja, dan kamu mempunyai semua kereta kuda, kuda, senjata, serta kota-kota yang berkubu. Oleh itu, sebaik sahaja kamu menerima surat ini,
3. pilihlah yang paling layak di kalangan keturunan raja, dan lantiklah dia menjadi raja, lalu berjuanglah membela dia.”
4. Para penguasa Samaria ketakutan. Mereka berkata, “Bagaimanakah kita dapat menentang Raja Yehu, sedangkan Raja Yoram dan Raja Ahazia pun tidak dapat menentangnya?”
5. Oleh itu ketua pegawai istana dan ketua pegawai kota, bersama-sama para pemimpin rakyat dan para wali, mengirim jawapan ini kepada Raja Yehu. Kata mereka, “Kami hamba-hamba tuanku. Kami bersedia menjunjung titah tuanku. Kami tidak mahu melantik sesiapa pun menjadi raja. Lakukanlah apa sahaja yang baik pada pandangan tuanku.”
6. Raja Yehu menulis sepucuk surat lagi kepada mereka. Kandungannya demikian, “Jika kamu memihak beta, dan bersedia menjunjung titah beta, bawalah kepala semua keturunan Raja Ahab kepada beta di Yizreel pada waktu ini esok.”Pada masa itu, tujuh puluh orang keturunan Raja Ahab diasuh dan dibesarkan oleh para pemimpin rakyat kota Samaria.
7. Apabila mereka menerima surat Raja Yehu, mereka membunuh semua keturunan Raja Ahab, yang sebanyak tujuh puluh orang. Mereka memasukkan kepala-kepala itu ke dalam beberapa buah bakul, lalu mengirimkan semuanya kepada Raja Yehu di Yizreel.
8. Apabila Raja Yehu diberitahu bahawa kepala-kepala itu sudah sampai, baginda memberikan perintah untuk menyusun kepala-kepala itu menjadi dua tumpukan di pintu gerbang, lalu dibiarkan di situ sehingga keesokan harinya.
9. Keesokan paginya, Raja Yehu pergi ke pintu gerbang dan bertitah kepada semua orang di situ, “Memang beta bertanggungjawab dalam pemberontakan terhadap Raja Yoram, dan betalah yang membunuh baginda. Kamu tidak bertanggungjawab terhadap hal itu. Tetapi siapakah yang membunuh semua orang ini?
10. Nyatalah bahawa semua yang difirmankan TUHAN tentang keturunan Raja Ahab akan berlaku. Sekarang TUHAN telah melaksanakan apa yang difirmankan-Nya melalui hamba-Nya Elia.”
11. Selepas itu Raja Yehu membunuh pula semua sanak keluarga Raja Ahab yang tinggal di Yizreel serta semua pegawai, sahabat karib, dan imamnya; tidak seorang pun dibiarkan hidup.
12. Raja Yehu meninggalkan Yizreel lalu pergi ke Samaria. Di tengah jalan, di suatu tempat yang bernama “Perkhemahan Gembala”,
13. baginda berjumpa dengan beberapa orang kerabat Raja Ahazia, raja Yehuda. Baginda bertanya kepada mereka, “Siapakah kamu?”Mereka menjawab, “Kami kerabat Raja Ahazia. Kami sedang dalam perjalanan ke Yizreel untuk mengunjungi anak-anak Permaisuri Izebel, dan kerabat diraja yang lain.”