13. Semua orang, tua dan muda lari ke pintu gerbang. Tidak seorang pun menyangka bahawa Yudit sudah kembali. Mereka membuka pintu gerbang dan menyambut Yudit serta hamba perempuannya. Kemudian mereka menyalakan api unggun supaya terang, dan berdiri mengerumuni Yudit dan hambanya.
14. Yudit berseru, “Pujilah Allah, pujilah Dia! Pujilah Allah yang tetap mengasihani Israel umat-Nya. Malam ini Dia menghancurkan musuh kita dengan perantaraan saya.”
15. Lalu dikeluarkannya kepala Holofernes dari kantung dan diperlihatkannya kepada orang di situ. Katanya, “Ini kepala Holofernes, panglima tinggi tentera Asyur, dan ini kelambu dari tempat tidurnya, tempat dia berbaring dalam keadaan mabuk. Allah telah membinasakannya dengan perantaraan seorang wanita.
16. Demi Allah Yang Hidup, saya bersumpah bahawa Holofernes tidak menyentuh saya. Memang dia terpedaya oleh wajah saya sehingga menemui ajalnya. Saya tak dicemarkan atau dinodai, oleh sebab selama itu Tuhan tetap melindungi saya.”