Yudit 13:10-19 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

10. yang memasukkannya ke dalam kantung makanan.Kemudian kedua-dua orang wanita itu berangkat bersama-sama seperti biasanya apabila mereka hendak berdoa. Sesudah berjalan melalui perkhemahan Asyur, mereka menyeberang lembah dan naik lereng gunung sehingga pintu gerbang Betulia.

11. Ketika masih agak jauh, Yudit berseru kepada penjaga- penjaga gerbang itu, “Buka pintu! Buka pintu! Allah menyertai kita! Hari ini Dia menunjukkan bahawa Dia masih menggunakan kekuatan-Nya di Israel untuk melawan musuh-musuh kita!”

12. Pada waktu orang di situ mendengar suaranya, mereka cepat-cepat turun ke pintu gerbang dan memanggil para pemimpin kota.

13. Semua orang, tua dan muda lari ke pintu gerbang. Tidak seorang pun menyangka bahawa Yudit sudah kembali. Mereka membuka pintu gerbang dan menyambut Yudit serta hamba perempuannya. Kemudian mereka menyalakan api unggun supaya terang, dan berdiri mengerumuni Yudit dan hambanya.

14. Yudit berseru, “Pujilah Allah, pujilah Dia! Pujilah Allah yang tetap mengasihani Israel umat-Nya. Malam ini Dia menghancurkan musuh kita dengan perantaraan saya.”

15. Lalu dikeluarkannya kepala Holofernes dari kantung dan diperlihatkannya kepada orang di situ. Katanya, “Ini kepala Holofernes, panglima tinggi tentera Asyur, dan ini kelambu dari tempat tidurnya, tempat dia berbaring dalam keadaan mabuk. Allah telah membinasakannya dengan perantaraan seorang wanita.

16. Demi Allah Yang Hidup, saya bersumpah bahawa Holofernes tidak menyentuh saya. Memang dia terpedaya oleh wajah saya sehingga menemui ajalnya. Saya tak dicemarkan atau dinodai, oleh sebab selama itu Tuhan tetap melindungi saya.”

17. Seluruh penduduk kota kehairanan. Mereka sujud menyembah Allah dan berdoa bersama, “Allah kami, terpujilah Engkau. Hari ini Engkau mengalahkan musuh-musuh bangsa kami.”

18. Lalu Uzia berkata kepada Yudit, “Allah Yang Maha Tinggi telah memberkati engkau melebihi semua wanita di bumi. Terpujilah Tuhan Allah, yang mencipta langit dan bumi! Engkau dibimbing-Nya pada waktu memenggal kepala panglima musuh kita.

19. Kepercayaanmu kepada Allah akan tetap diingat oleh semua orang yang mengenang kuasa-Nya.

Yudit 13