1. Ketika hari sudah jauh malam, para hamba segera meninggalkan tempat itu. Lalu Bagoas menutup khemah dari luar supaya hamba-hamba Holofernes tidak dapat masuk. Mereka sekalian pergi ke tempat tidur, oleh sebab semuanya sudah lelah kerana jamuan minum itu berlangsung lama.
2. Yudit ditinggalkan seorang diri di dalam khemah bersama-sama Holofernes yang terbaring mabuk di tempat tidurnya.
3. Yudit menyuruh hamba perempuannya berdiri di luar bilik tidur dan menunggu di situ sehingga dia keluar seperti pada hari-hari lainnya. Hal itu demikian kerana dia sudah mengatakan kepadanya dan juga kepada Bagoas bahawa dia akan pergi untuk berdoa seperti biasa.
4. Waktu itu semua sudah pergi; tinggal Yudit dan Holofernes sahaja di dalam bilik tidur. Yudit berdiri di sebelah tempat tidur Holofernes dan berdoa dalam hati, “Ya Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa, tolonglah aku melakukan hal ini demi keagungan Yerusalem.
5. Sekarang sudah tiba saatnya menyelamatkan bangsa pilihan-Mu. Tolonglah aku untuk melaksanakan rancangan ini untuk membinasakan musuh yang mengancam kami.”
6. Lalu Yudit mendekati kepala Holofernes dan mengambil pedang Holofernes.
7. Dia lebih mendekat lagi, lalu dipegangnya rambut Holofernes dan berkata, “Ya Tuhan, Allah Israel, berilah aku kekuatan sekarang juga.”
8. Lalu dengan sekuat tenaga dipotongnya tengkuk Holofernes sehingga dua kali, dan dengan demikian dipenggalnya kepala Holofernes.
9. Badan Holofernes digulingkannya dari tempat tidur, lalu diambilnya kelambu dari tiang-tiangnya. Sesudah itu dia keluar dan menyerahkan kepala Holofernes kepada hamba perempuannya,
10. yang memasukkannya ke dalam kantung makanan.Kemudian kedua-dua orang wanita itu berangkat bersama-sama seperti biasanya apabila mereka hendak berdoa. Sesudah berjalan melalui perkhemahan Asyur, mereka menyeberang lembah dan naik lereng gunung sehingga pintu gerbang Betulia.
11. Ketika masih agak jauh, Yudit berseru kepada penjaga- penjaga gerbang itu, “Buka pintu! Buka pintu! Allah menyertai kita! Hari ini Dia menunjukkan bahawa Dia masih menggunakan kekuatan-Nya di Israel untuk melawan musuh-musuh kita!”