15. Selepas Raja Salmaneser mangkat, baginda digantikan oleh Sanherib, puteranya. Kemudian jalan-jalan di Media menjadi sangat berbahaya, sehingga saya tidak dapat lagi pergi ke sana.
16. Pada masa pemerintahan Raja Salmaneser, saya banyak menolong saudara-saudara sebangsa saya.
17. Saya memberi makanan kepada yang lapar dan pakaian kepada yang berkekurangan. Kalau saya melihat mayat orang sebangsa saya dibuang di luar tembok kota, saya menguburkannya.
18. Pada suatu hari Raja Sanherib mengutuk Allah Raja Yang Maha Tinggi, sehingga baginda dihukum Allah dan Raja Sanherib terpaksa berundur dari Yehuda. Sekembalinya ke Media, meluap-luaplah kemurkaan baginda terhadap orang Israel, dan banyak antara mereka dibunuh baginda. Dengan diam-diam, saya mengambil mayat mereka dan menguburkan semuanya. Kemudian raja memerintahkan supaya mayat-mayat itu dicari, tetapi tidak dapat ditemukan.
19. Lalu seorang penduduk Niniwe melaporkan kepada raja bahawa sayalah yang menguburkan mangsa-mangsa pembunuhan baginda. Waktu saya menyedari bahawa hidup saya terancam kerana perbuatan saya, saya bersembunyi. Apabila hal itu diketahui raja, saya ketakutan dan melarikan diri.
20. Semua harta saya disita dan dimasukkan ke dalam perbendaharaan istana. Saya tidak mempunyai apa-apa lagi selain Anna isteri saya dan Tobias anak saya.
21. Kira-kira sebulan kemudian Raja Sanherib dibunuh oleh dua orang puteranya yang segera melarikan diri ke pergunungan Ararat. Lalu Esarhadon, puteranya yang lain menjadi raja. Baginda mempercayakan semua urusan kewangan kerajaan dan istana kepada Ahikar, anak abang saya, Anael.
22. Ahikar dilantik semula menjadi ketua pengurus istana, kerana pada masa pemerintahan Raja Sanherib, raja Asyur, Ahikar sudah pun memegang jawatan pengurus minuman, penyimpan mohor diraja, bendahara, dan pengawas istana. Disebabkan Ahikar itu anak saudara saya, dia menjadi pengantara yang baik bagi saya kepada raja, sehingga saya dapat pulang ke Niniwe.