1. Inilah riwayat hidup Tobit. Garis keturunannya dari bawah ke atas adalah sebagai berikut: Tobit, Tobiel, Ananiel, Aduel, Gabael, Rafael, dan Raguel keturunan Asiel daripada suku Naftali.
2. Pada waktu Asyur diperintah oleh Raja Salmaneser, Tobit ditawan dan diangkut dari kota Tisbe di Galilea Utara. Kota itu terletak di sebelah selatan Kades di Naftali, di barat laut Hazor, dan di sebelah utara Fogor.
3. Saya, Tobit, selalu jujur dan taat kepada agama, dan seumur hidup berusaha untuk melakukan yang baik. Saya sering beramal kepada sanak saudara saya dan orang Israel lain yang bersama-sama saya dalam pembuangan di Niniwe, ibu kota Asyur.
4. Waktu saya masih muda, saya tinggal di Israel Utara. Semua bangsa Israel wajib mempersembahkan korban di Yerusalem, kota yang telah dipilih Allah. Di situ telah dibina Rumah-Nya, kediaman-Nya yang suci untuk selama-lamanya. Tetapi seluruh suku Naftali, suku saya, memberontak terhadap raja keturunan Raja Daud di Yerusalem.
5. Maka keluarga saya, seperti orang lain daripada suku saya, biasa pergi ke kota Dan di pergunungan Galilea Utara. Di situ mereka mempersembahkan korban kepada patung lembu jantan yang didirikan di tempat itu oleh Raja Yerobeam, raja Israel.
6. Daripada keluarga saya, seringkali hanya saya yang pergi ke Yerusalem untuk merayakan perayaan-perayaan agama, seperti yang diperintahkan Taurat Musa kepada setiap orang Israel. Saya pergi ke Yerusalem membawa sebahagian daripada hasil tuaian yang pertama, anak kambing dan anak domba yang pertama lahir, sepersepuluh daripada ternakan yang ada, dan hasil guntingan pertama bulu domba.
7. Semua itu saya berikan kepada para imam keturunan Harun sebagai persembahan untuk ibadat. Sepersepuluh daripada gandum, wain, minyak zaitun, buah delima, buah ara, dan hasil bumi lainnya, saya berikan kepada orang Lewi yang menyelenggarakan kebaktian di Yerusalem. Sepersepuluh yang lain saya jual, dan wangnya saya gunakan untuk perayaan-perayaan di Yerusalem. Saya melakukannya setiap tahun, kecuali pada tahun yang ketujuh, tahun rehat untuk tanah.
8. Setiap tahun yang ketiga saya membahagikan sepersepuluh lagi kepada para janda, yatim piatu dan orang asing yang menetap di kalangan bangsa kami, dan kami makan hidangan pesta bersama-sama. Semua itu saya lakukan untuk mentaati Taurat Musa yang diajarkan Debora, ibu kepada datuk saya, Ananiel. Waktu bapa saya meninggal, saya menjadi yatim piatu.
9. Sesudah saya dewasa, saya berkahwin dengan Anna, gadis daripada suku kami sendiri. Kami dikurniakan seorang anak lelaki, dan saya menamainya Tobias.
10. Kemudian saya ditawan dan diangkut ke negeri Asyur dan menetap di kota Niniwe. Selama tinggal di sana, semua kaum kerabat saya dan orang Israel lainnya biasa makan makanan orang di negeri itu,
11. tetapi saya tidak mahu makan makanan mereka.
12. Dengan sungguh-sungguh saya ingat kepada perintah Allah.
13. Oleh itu Allah Yang Maha Tinggi membuat Raja Salmaneser berkenan melantik saya menjadi pegawai istana untuk mengurus perbelanjaan semua keperluan raja.
14. Sebelum raja itu mangkat, saya biasa pergi ke negeri Media untuk membeli barangan bagi baginda. Pada suatu ketika saya singgah di kota Ragai di negeri Media, dan mengamanahkan wang beberapa kantung kepada Gabael saudara Gabria. Kantung-kantung itu mengandungi lebih daripada 300 kilogram perak.
15. Selepas Raja Salmaneser mangkat, baginda digantikan oleh Sanherib, puteranya. Kemudian jalan-jalan di Media menjadi sangat berbahaya, sehingga saya tidak dapat lagi pergi ke sana.
16. Pada masa pemerintahan Raja Salmaneser, saya banyak menolong saudara-saudara sebangsa saya.
17. Saya memberi makanan kepada yang lapar dan pakaian kepada yang berkekurangan. Kalau saya melihat mayat orang sebangsa saya dibuang di luar tembok kota, saya menguburkannya.
18. Pada suatu hari Raja Sanherib mengutuk Allah Raja Yang Maha Tinggi, sehingga baginda dihukum Allah dan Raja Sanherib terpaksa berundur dari Yehuda. Sekembalinya ke Media, meluap-luaplah kemurkaan baginda terhadap orang Israel, dan banyak antara mereka dibunuh baginda. Dengan diam-diam, saya mengambil mayat mereka dan menguburkan semuanya. Kemudian raja memerintahkan supaya mayat-mayat itu dicari, tetapi tidak dapat ditemukan.
19. Lalu seorang penduduk Niniwe melaporkan kepada raja bahawa sayalah yang menguburkan mangsa-mangsa pembunuhan baginda. Waktu saya menyedari bahawa hidup saya terancam kerana perbuatan saya, saya bersembunyi. Apabila hal itu diketahui raja, saya ketakutan dan melarikan diri.
20. Semua harta saya disita dan dimasukkan ke dalam perbendaharaan istana. Saya tidak mempunyai apa-apa lagi selain Anna isteri saya dan Tobias anak saya.
21. Kira-kira sebulan kemudian Raja Sanherib dibunuh oleh dua orang puteranya yang segera melarikan diri ke pergunungan Ararat. Lalu Esarhadon, puteranya yang lain menjadi raja. Baginda mempercayakan semua urusan kewangan kerajaan dan istana kepada Ahikar, anak abang saya, Anael.
22. Ahikar dilantik semula menjadi ketua pengurus istana, kerana pada masa pemerintahan Raja Sanherib, raja Asyur, Ahikar sudah pun memegang jawatan pengurus minuman, penyimpan mohor diraja, bendahara, dan pengawas istana. Disebabkan Ahikar itu anak saudara saya, dia menjadi pengantara yang baik bagi saya kepada raja, sehingga saya dapat pulang ke Niniwe.