Tobit 1:10-21 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

10. Kemudian saya ditawan dan diangkut ke negeri Asyur dan menetap di kota Niniwe. Selama tinggal di sana, semua kaum kerabat saya dan orang Israel lainnya biasa makan makanan orang di negeri itu,

11. tetapi saya tidak mahu makan makanan mereka.

12. Dengan sungguh-sungguh saya ingat kepada perintah Allah.

13. Oleh itu Allah Yang Maha Tinggi membuat Raja Salmaneser berkenan melantik saya menjadi pegawai istana untuk mengurus perbelanjaan semua keperluan raja.

14. Sebelum raja itu mangkat, saya biasa pergi ke negeri Media untuk membeli barangan bagi baginda. Pada suatu ketika saya singgah di kota Ragai di negeri Media, dan mengamanahkan wang beberapa kantung kepada Gabael saudara Gabria. Kantung-kantung itu mengandungi lebih daripada 300 kilogram perak.

15. Selepas Raja Salmaneser mangkat, baginda digantikan oleh Sanherib, puteranya. Kemudian jalan-jalan di Media menjadi sangat berbahaya, sehingga saya tidak dapat lagi pergi ke sana.

16. Pada masa pemerintahan Raja Salmaneser, saya banyak menolong saudara-saudara sebangsa saya.

17. Saya memberi makanan kepada yang lapar dan pakaian kepada yang berkekurangan. Kalau saya melihat mayat orang sebangsa saya dibuang di luar tembok kota, saya menguburkannya.

18. Pada suatu hari Raja Sanherib mengutuk Allah Raja Yang Maha Tinggi, sehingga baginda dihukum Allah dan Raja Sanherib terpaksa berundur dari Yehuda. Sekembalinya ke Media, meluap-luaplah kemurkaan baginda terhadap orang Israel, dan banyak antara mereka dibunuh baginda. Dengan diam-diam, saya mengambil mayat mereka dan menguburkan semuanya. Kemudian raja memerintahkan supaya mayat-mayat itu dicari, tetapi tidak dapat ditemukan.

19. Lalu seorang penduduk Niniwe melaporkan kepada raja bahawa sayalah yang menguburkan mangsa-mangsa pembunuhan baginda. Waktu saya menyedari bahawa hidup saya terancam kerana perbuatan saya, saya bersembunyi. Apabila hal itu diketahui raja, saya ketakutan dan melarikan diri.

20. Semua harta saya disita dan dimasukkan ke dalam perbendaharaan istana. Saya tidak mempunyai apa-apa lagi selain Anna isteri saya dan Tobias anak saya.

21. Kira-kira sebulan kemudian Raja Sanherib dibunuh oleh dua orang puteranya yang segera melarikan diri ke pergunungan Ararat. Lalu Esarhadon, puteranya yang lain menjadi raja. Baginda mempercayakan semua urusan kewangan kerajaan dan istana kepada Ahikar, anak abang saya, Anael.

Tobit 1