Sirakh 42:1-14 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Jangan berdosa kerana memihak dan jangan berasa malu kerana hal-hal ini:

2. Taurat dan perjanjian Allah Yang Maha Tinggi;keputusan yang memberi keadilan, bahkan kepada orang jahat;

3. berkongsi biaya dengan rakan atau teman seperjalanan;membahagi warisan teman;

4. menggunakan takaran dan ukuran yang tepat;mendapat keuntungan, sama ada besar atau kecil;

5. mendapat untung daripada tawar-menawar dengan seorang pedagang;berulang-ulang mendisiplinkan anak-anakmu;memukul seorang hamba yang tidak setia sehingga berdarah.

6. Sebaiknya, simpanlah milikmu di tempat yang terkunci kalau isterimu tidak dapat dipercayai, atau jika terdapat banyak orang berkumpul.

7. Hitunglah dan timbanglah apa yang kausimpan di tempat lain, dan catatlah semua pemasukan dan pengeluaranmu.

8. Jangan malu untuk mengajar orang bodoh atau orang lanjut usia yang dituduh kerana hidup tidak senonoh. Maka engkau menjadi orang yang sungguh terdidik dan terpuji di hadapan setiap orang.

9. Diam-diam seorang bapa tidak dapat tidur kerana memikirkan anak perempuannya. Waktu anak itu masih muda, bapanya khuatir jangan-jangan dia tidak mendapat suami. Sesudah anak itu berkahwin, bapanya khuatir jangan-jangan dia dibenci suaminya.

10. Waktu dia masih perawan, bapanya cemas jangan-jangan dia dicemarkan dan menjadi hamil sementara masih tinggal di rumah bapanya. Sesudah dia kahwin, bapanya cemas jangan-jangan dia mandul atau tidak setia.

11. Awasilah dengan ketat anak perempuanmu yang keras kepala. Kalau tidak, engkau dijadikan bahan tertawaan musuh-musuhmu, buah bibir orang sekota, bahan ejekan orang, dan engkau ditertawakan di hadapan orang ramai.

12. Jangan pandang siapa pun kerana kecantikannya, dan jangan duduk-duduk bersama dengan perempuan,

13. kerana daripada mereka datang kejahatan, seperti ngengat dari pakaian.

14. Lebih baik seorang lelaki yang jahat daripada seorang perempuan yang pura-pura baik. Seorang perempuan mendatangkan malu dan nista.

Sirakh 42