20. Beta berharap kamu dan keluarga kamu sihat walafiat dan segalanya baik seperti yang kamu inginkan. Harapan beta adalah pada Allah.
21. Beta teringat dengan rasa gembira akan kehormatan dan keramahan yang ditunjuk terhadap beta oleh kamu sekalian.Dalam perjalanan pulang dari Persia, beta gering tenat, maka beta anggap perlu memikirkan kesejahteraan seluruh rakyat.
22. Beta belum kehilangan harapan akan sembuh, bahkan beta sangat yakin bahawa beta akan sihat kembali.
23. Beta ingat bahawa ayahanda beta biasa melantik seorang pengganti apabila baginda maju berperang ke daerah sebelah timur Sungai Efrat.
24. Hal itu dilakukan oleh baginda andaikata terjadi sesuatu yang tidak disangka-sangka, atau apabila datang khabar buruk, rakyat tidak menjadi bingung kerana tahu siapa yang diserahi urusan negara.
25. Beta juga tahu bahawa para penguasa negara-negara jiran selalu memperhatikan keadaan dan menunggu kesempatan. Oleh itu beta telah melantik Antiokhus, putera beta menjadi pengganti beta sebagai raja. Seringkali beta telah mempercayakan dia kepada kamu apabila beta pergi ke wilayah-wilayah di sebelah timur Sungai Efrat. Beta juga menulis kepadanya apa yang beta tulis di sini.
26. Beta dengan sungguh-sungguh meminta kamu semua ingat akan kebaikan beta kepada kamu masing-masing, mahupun kepada seluruh bangsa. Hendaklah kamu tetap menunjukkan keikhlasan kepada beta dan putera beta.
27. Beta yakin putera beta akan mengikuti kebijaksanaan beta dan memperlakukan kamu semua dengan adil dan baik hati, serta menyesuaikan diri dengan kepentingan kamu sekalian.”
28. Tetapi raja yang telah membunuh banyak orang dan mengutuk Allah, terus menderita sengsara yang sangat berat, seperti yang telah ditimpakan oleh baginda kepada orang lain. Akhirnya baginda mengalami kesudahan yang paling buruk, iaitu mati di daerah pergunungan di negeri asing.
29. Filipus sahabat karib baginda membawa jenazah baginda pulang. Oleh sebab takut kepada putera Antiokhus, Filipus lari ke Mesir, berlindungkan diri kepada Raja Ptolemeus Filometor.