2 Makabe 4:9-21 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

9. Selain itu dia berjanji akan membayar 5,000 kilogram perak jika diberi kuasa untuk mendirikan gelanggang olahraga sebagai tempat latihan bagi pemuda-pemuda, dan mendaftarkan orang Yerusalem sebagai penduduk kota Antiokhia.

10. Raja bersetuju dan segera sesudah Yason menjadi Imam Agung, dia menggunakan kekuasaannya untuk menyesuaikan penduduk Yerusalem kepada cara hidup orang Yunani.

11. Dia mulai dengan menghapuskan semua hak istimewa yang dianugerahkan raja-raja Siria dahulu kepada bangsa Yahudi melalui jasa Yohanes. Yohanes itu bapa Eupolemus yang diutus ke Roma untuk mengadakan persahabatan dan perikatan. Yason juga menghapuskan adat istiadat Yahudi dan memperkenalkan adat baru yang bertentangan dengan Taurat kita.

12. Dengan penuh semangat dia membina sebuah gelanggang olahraga dekat dengan Rumah Tuhan. Pemuda-pemuda kita yang paling cekap disuruhnya menyertai pesta-pesta olahraga menurut adat kebiasaan Yunani.

13. Yason, Imam Agung palsu itu melakukan kejahatan-kejahatan yang tidak ada taranya. Oleh sebab dia, rakyat semakin menerima kebudayaan Yunani dan cara-cara asing, sehingga

14. para imam pun tidak lagi mempedulikan tugas-tugas suci mereka. Mereka sudah tidak berminat terhadap ibadat di Rumah Tuhan dan melalaikan semua korban. Apabila tanda untuk memulakan lempar cakera dibunyikan, mereka bergegas-gegas untuk menyertai permainan-permainan yang dilarang oleh Taurat kita.

15. Mereka meremehkan apa yang dihormati oleh nenek moyang kita, sedangkan tanda-tanda kehormatan Yunani sangat dihargai oleh mereka.

16. Itulah sebabnya mereka mula mengalami kesulitan, oleh sebab bangsa yang adat istiadatnya dikagumi oleh mereka dan cara hidup yang cuba ditiru mereka, menjadi musuh dan penindas mereka.

17. Memang pemberontakan terhadap Taurat Allah bukanlah hal yang kecil, seperti mana ternampak daripada kejadian-kejadian yang berikut.

18. Pada suatu masa, apabila raja menghadiri pesta olahraga yang diadakan lima tahun sekali di kota Tirus,

19. Yason orang jahat itu mengirim beberapa orang utusan dari Yerusalem, yang terdaftar sebagai penduduk Antiokhia. Yason menyuruh mereka membawa 2.5 kilogram perak untuk perbelanjaan korban kepada Dewa Herakles. Tetapi utusan-utusan itu sendiri menganggap bahawa tidaklah patut menggunakan wang itu untuk korban.

20. Maka wang yang dimaksudkan untuk korban bagi Dewa Herakles, digunakan oleh pembawa-pembawa wang itu, untuk memperlengkapi kapal perang.

21. Setelah Apolonius anak Menesteus diutus ke Mesir untuk menghadiri penobatan Raja Filometor, Raja Antiokhus mendengar bahawa raja Mesir itu tidak bersetuju dengan dasar-dasar baginda. Raja Antiokhus mula cemas hati tentang keamanan kerajaan baginda sendiri. Oleh sebab itu baginda pergi ke kota Yope, kemudian ke Yerusalem.

2 Makabe 4