2 Makabe 4:16-23 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

16. Itulah sebabnya mereka mula mengalami kesulitan, oleh sebab bangsa yang adat istiadatnya dikagumi oleh mereka dan cara hidup yang cuba ditiru mereka, menjadi musuh dan penindas mereka.

17. Memang pemberontakan terhadap Taurat Allah bukanlah hal yang kecil, seperti mana ternampak daripada kejadian-kejadian yang berikut.

18. Pada suatu masa, apabila raja menghadiri pesta olahraga yang diadakan lima tahun sekali di kota Tirus,

19. Yason orang jahat itu mengirim beberapa orang utusan dari Yerusalem, yang terdaftar sebagai penduduk Antiokhia. Yason menyuruh mereka membawa 2.5 kilogram perak untuk perbelanjaan korban kepada Dewa Herakles. Tetapi utusan-utusan itu sendiri menganggap bahawa tidaklah patut menggunakan wang itu untuk korban.

20. Maka wang yang dimaksudkan untuk korban bagi Dewa Herakles, digunakan oleh pembawa-pembawa wang itu, untuk memperlengkapi kapal perang.

21. Setelah Apolonius anak Menesteus diutus ke Mesir untuk menghadiri penobatan Raja Filometor, Raja Antiokhus mendengar bahawa raja Mesir itu tidak bersetuju dengan dasar-dasar baginda. Raja Antiokhus mula cemas hati tentang keamanan kerajaan baginda sendiri. Oleh sebab itu baginda pergi ke kota Yope, kemudian ke Yerusalem.

22. Baginda disambut dengan meriah oleh Yason dan penduduk kota dan diarak masuk oleh kumpulan orang yang membawa obor sambil bersorak-sorai. Selepas itu Raja Antiokhus membawa pasukannya ke Fenisia.

23. Tiga tahun kemudian Yason mengutus Menelaus saudara Simon yang telah disebut dahulu, untuk membawa wang yang dijanjikannya kepada raja dan minta keputusan baginda tentang beberapa perkara penting.

2 Makabe 4