1. Tetapi Simon, orang yang telah berkhianat terhadap tanah airnya dan yang memberitahu Apolonius tentang harta di dalam perbendaharaan, menuduh Onias bahawa Oniaslah yang memukul Heliodorus dan mendatangkan malapetaka itu.
2. Bahkan dia berani menuduh Onias sebagai pengkhianat negara. Padahal Onias sangat berjasa kepada Yerusalem. Dia telah melindungi orang sebangsanya dan berusaha keras supaya hukum-hukum ditaati.
3-4. Apolonius anak Menesteus, gabenor Siria Besar dan Fenisia, menyokong kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh Simon. Permusuhan antara Simon dan Onias menjadi-jadi, sehingga akhirnya seorang kepercayaan Simon melakukan beberapa pembunuhan. Onias menyedari bahawa keadaan itu mengancamnya,
10. Raja bersetuju dan segera sesudah Yason menjadi Imam Agung, dia menggunakan kekuasaannya untuk menyesuaikan penduduk Yerusalem kepada cara hidup orang Yunani.
11. Dia mulai dengan menghapuskan semua hak istimewa yang dianugerahkan raja-raja Siria dahulu kepada bangsa Yahudi melalui jasa Yohanes. Yohanes itu bapa Eupolemus yang diutus ke Roma untuk mengadakan persahabatan dan perikatan. Yason juga menghapuskan adat istiadat Yahudi dan memperkenalkan adat baru yang bertentangan dengan Taurat kita.
12. Dengan penuh semangat dia membina sebuah gelanggang olahraga dekat dengan Rumah Tuhan. Pemuda-pemuda kita yang paling cekap disuruhnya menyertai pesta-pesta olahraga menurut adat kebiasaan Yunani.
13. Yason, Imam Agung palsu itu melakukan kejahatan-kejahatan yang tidak ada taranya. Oleh sebab dia, rakyat semakin menerima kebudayaan Yunani dan cara-cara asing, sehingga
14. para imam pun tidak lagi mempedulikan tugas-tugas suci mereka. Mereka sudah tidak berminat terhadap ibadat di Rumah Tuhan dan melalaikan semua korban. Apabila tanda untuk memulakan lempar cakera dibunyikan, mereka bergegas-gegas untuk menyertai permainan-permainan yang dilarang oleh Taurat kita.
15. Mereka meremehkan apa yang dihormati oleh nenek moyang kita, sedangkan tanda-tanda kehormatan Yunani sangat dihargai oleh mereka.
16. Itulah sebabnya mereka mula mengalami kesulitan, oleh sebab bangsa yang adat istiadatnya dikagumi oleh mereka dan cara hidup yang cuba ditiru mereka, menjadi musuh dan penindas mereka.
17. Memang pemberontakan terhadap Taurat Allah bukanlah hal yang kecil, seperti mana ternampak daripada kejadian-kejadian yang berikut.
18. Pada suatu masa, apabila raja menghadiri pesta olahraga yang diadakan lima tahun sekali di kota Tirus,
19. Yason orang jahat itu mengirim beberapa orang utusan dari Yerusalem, yang terdaftar sebagai penduduk Antiokhia. Yason menyuruh mereka membawa 2.5 kilogram perak untuk perbelanjaan korban kepada Dewa Herakles. Tetapi utusan-utusan itu sendiri menganggap bahawa tidaklah patut menggunakan wang itu untuk korban.
20. Maka wang yang dimaksudkan untuk korban bagi Dewa Herakles, digunakan oleh pembawa-pembawa wang itu, untuk memperlengkapi kapal perang.
21. Setelah Apolonius anak Menesteus diutus ke Mesir untuk menghadiri penobatan Raja Filometor, Raja Antiokhus mendengar bahawa raja Mesir itu tidak bersetuju dengan dasar-dasar baginda. Raja Antiokhus mula cemas hati tentang keamanan kerajaan baginda sendiri. Oleh sebab itu baginda pergi ke kota Yope, kemudian ke Yerusalem.
22. Baginda disambut dengan meriah oleh Yason dan penduduk kota dan diarak masuk oleh kumpulan orang yang membawa obor sambil bersorak-sorai. Selepas itu Raja Antiokhus membawa pasukannya ke Fenisia.
23. Tiga tahun kemudian Yason mengutus Menelaus saudara Simon yang telah disebut dahulu, untuk membawa wang yang dijanjikannya kepada raja dan minta keputusan baginda tentang beberapa perkara penting.
24. Tetapi ketika menghadap raja, dia membuat raja terkesan dengan berlagak seperti orang yang mempunyai kuasa. Menelaus menawarkan wang 10,200 kilogram lebih banyak daripada yang dijanjikan Yason, sehingga Menelaus berhasil mendapat jawatan Imam Agung.
25. Lalu Menelaus kembali ke Yerusalem sambil membawa surat perlantikan daripada raja. Tetapi selain itu dia tidak mempunyai apa-apa kelayakan untuk menjadi Imam Agung; perangainya seperti seorang penguasa yang bengis dan kalau marah, dia menggeram seperti binatang buas.
26. Demikianlah Yason yang telah merebut kedudukan Imam Agung daripada saudaranya sendiri digulingkan juga, dan sekarang terpaksa melarikan diri ke negeri Amon.
27. Meskipun Menelaus mendapat jawatan Imam Agung, namun dia tidak membayar wang yang dijanjikannya kepada raja.
28. Sostratus, komandan kubu di Yerusalem, terus-menerus menuntut wang itu, kerana dia ditugaskan mengumpul hasil. Akhirnya kedua-dua orang itu dipanggil menghadap raja.
29. Menelaus melantik Lisimakhus saudaranya sebagai timbalan Imam Agung, sementara Sostratus memilih Krates, ketua pasukan Siprus, sebagai wakilnya.