2 Makabe 15:1-11 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Nikanor mendapat khabar bahawa Yudas dan anak buahnya ada di daerah Samaria. Maka dia memutuskan untuk menyerang mereka pada hari Sabat, hari rehat untuk orang Yahudi, kerana dia dapat bertindak tanpa menghadapi bahaya.

2. Orang Yahudi yang dipaksa ikut dengan tenteranya mohon kepadanya supaya jangan membunuh dengan begitu kejam dan biadab, tetapi menghormati hari yang mulia itu yang dikhususkan oleh Allah yang melihat segala sesuatu.

3. Lalu Nikanor, makhluk yang paling hina di atas muka bumi, bertanya, “Betulkah di syurga ada penguasa yang menetapkan bahawa hari Sabat harus dirayakan?”

4. Jawab orang Yahudi, “Ya! Tuhan yang hidup dan berkuasa di syurga memerintahkan kami untuk merayakan hari Sabat.”

5. Tetapi Nikanor berkata, “Baik, tetapi akulah yang berkuasa di bumi, dan kuperintahkan kamu untuk mengangkat senjata dan memenuhi permintaan raja.” Tetapi dia tidak berjaya melaksanakan rancangan yang kejam itu.

6. Dengan sombongnya Nikanor berkata bahawa dia akan mendirikan sebuah tugu untuk memperingati kemenangannya terhadap Yudas dan para pengikutnya.

7. Tetapi Yudas tetap percaya dengan penuh harapan bahawa Tuhan akan menolong dia.

8. Oleh sebab itu Yudas menasihati anak buahnya supaya jangan takut terhadap serangan musuh. Dia mengajak mereka untuk mengingati pertolongan Allah Yang Maha Kuasa pada masa yang lampau, dan untuk tetap yakin bahawa kali ini pun Dia akan memberi mereka kemenangan.

9. Dia mengobarkan semangat mereka dengan membaca dari kitab Taurat dan para nabi, dan dengan mengingatkan mereka akan segala kemenangan yang sudah dicapai oleh mereka.

10. Sesudah semangat mereka dikobarkan, Yudas memperingatkan mereka dengan menunjukkan ketidaksetiaan bangsa asing dan sumpah-sumpah yang telah dilanggar oleh mereka.

11. Begitulah dia mempersenjatai mereka semua, bukan sahaja dengan perisai dan tombak yang memberi rasa aman, tetapi dengan kata-kata yang memberi semangat. Dia juga menggembirakan hati mereka dengan menceritakan mimpinya, semacam penglihatan yang dapat dipercaya.

2 Makabe 15