34. Sesudah berkata begitu dia pergi. Lalu para imam mengangkat tangan mereka ke syurga dan berdoa kepada Allah yang selalu berjuang untuk bangsa kita. Mereka berdoa begini,
35. “Ya Tuhan, Engkau tidak memerlukan apa-apa. Walaupun begitu Engkau berkenan menempatkan Rumah-Mu di sini untuk tinggal di tengah-tengah kami.
36. Hanya Engkaulah Tuhan yang suci, sumber segala kesucian. Jagalah supaya Rumah-Mu yang baru sahaja disucikan semula bagi-Mu, tetap suci untuk selama-lamanya.”
37. Salah seorang terkemuka di Yerusalem, yang bernama Razis dilaporkan kepada Nikanor. Razis itu orang yang menyayangi bangsanya dan sangat dihormati sehingga diberi gelaran ‘Bapa orang Yahudi’.
38. Pada awal pergolakan, dia dengan tabah hati mempertaruhkan jiwa raganya untuk kepentingan agama Yahudi, dan telah dihadapkan ke pengadilan kerana kesetiaannya.
39. Nikanor ingin menunjukkan kebenciannya terhadap orang Yahudi. Oleh sebab itu dia menyuruh lebih daripada 500 orang askar untuk menangkap Razis,
40. Kerana dia menyangka bahawa dengan tindakan itu dapat merugikan orang Yahudi.
41. Para askar bersiap sedia untuk merebut menara tempat Razis ketika itu. Mereka memecah pintu gerbang halaman dan memerintahkan supaya pintu-pintu menara dibakar. Ketika Razis melihat bahawa tidak ada kemungkinan untuk melarikan diri, dia menikam dirinya dengan pedang.
42. Dia lebih suka mati dengan hormat daripada jatuh ke tangan musuh dan mengalami penghinaan.
43. Tetapi kerana tergesa-gesa, tikaman itu tidak membunuh dia.Ketika askar-askar masuk melalui pintu-pintu, Razis dengan beraninya naik ke atas tembok dan seperti seorang pahlawan dia melompat ke tengah orang banyak di bawah.