2 Makabe 14:1-10 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Tiga tahun kemudian Yudas dan anak buahnya mendapat khabar bahawa Demetrius putera Seleukus sudah belayar dari pelabuhan Tripolis dengan tentera yang sangat kuat dan sebuah armada, dan

2. juga menguasai negeri setelah membunuh Raja Antiokhus dan Lisias, wali baginda.

3. Ada seorang bernama Alkimus yang dahulu menjadi Imam Agung, tetapi dalam masa pergolakan dia dengan sukarela beralih kepada cara hidup orang Yunani. Dia menyedari bahawa tidak ada lagi kesempatan baginya untuk menjadi Imam Agung, dan juga bahawa kehidupannya sama sekali tidak aman.

4. Oleh sebab itu dalam tahun 151 dia pergi menemui Raja Demetrius. Dia mempersembahkan sebuah mahkota emas dan daun palma kepada raja, juga beberapa batang ranting daun zaitun, yang biasa dipersembahkan di kuil. Tetapi dia tidak mengatakan apa-apa tentang maksudnya.

5. Kelak kemudian dia mendapat kesempatan untuk menjalankan rancangannya yang bodoh, ketika dia dipanggil oleh Raja Demetrius untuk menghadiri pertemuan penasihat baginda dan ditanya tentang keadaan dan rancangan orang Yahudi.Kata Alkimus,

6. “Pengikut-pengikut Yudas Makabe yang disebut kaum Mursyid selalu menghasut untuk berperang dan memberontak, dan tidak membiarkan kerajaan ini dalam keadaan tenteram.

7. Itulah sebabnya saya telah melepaskan jawatan Imam Agung yang menjadi hak saya kerana keturunan. Saya datang ke sini,

8. pertama-tamanya kerana saya sungguh cemas memikirkan kepentingan tuanku. Kemudian juga untuk kepentingan bangsa saya, kerana tindakan bodoh Yudas dan pengikut-pengikutnya merupakan malapetaka bagi seluruh bangsa kami.

9. Sesudah mengetahui selok-belok perkara ini, sudilah tuanku mengambil tindakan yang sesuai dengan perikemanusiaan dan kebaikan tuanku untuk membebaskan negeri dan bangsa kami daripada penindasan.

10. Selama Yudas masih hidup, negara ini tidak mungkin menikmati damai.”

2 Makabe 14