2 Makabe 10:7-15 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

7. Tetapi sekarang mereka berarak dengan membawa dahan cemara dan ranting-ranting hijau dan daun palma, sambil menyanyikan lagu-lagu pujian bagi Tuhan yang menyucikan Rumah-Nya semula.

8. Lalu mereka dengan sebulat suara memutuskan bahawa setiap tahun, hari itu harus dirayakan oleh seluruh bangsa Yahudi.

9. Begitulah yang terjadi pada saat-saat akhir hayat Raja Antiokhus Epifanes.

10. Sekarang kami menceritakan tentang Raja Antiokhus Eupator, putera Raja Antiokhus Epifanes, penjahat itu, dan kami memberikan ringkasan tentang malapetaka yang disebabkan oleh segala peperangan baginda.

11. Sesudah menaiki takhta, Raja Antiokhus Eupator melantik seorang bernama Lisias menjadi perdana menteri dan gabenor Siria Besar dan Fenisia.

12. Dia menggantikan Ptolemeus Makron, gabenor pertama yang berusaha untuk memperlakukan orang Yahudi dengan adil. Justeru kerana segala kekejaman yang telah ditimpakan kepada orang Yahudi, Ptolemeus mengusahakan perdamaian dengan mereka.

13. Akibatnya dia diadukan kepada Raja Eupator oleh beberapa orang sahabat raja. Setiap kali dia mendengar dirinya disebut sebagai pengkhianat, kerana telah meninggalkan pulau Siprus yang dipercayakan kepadanya oleh Raja Filometor, raja Mesir, dan memihak kepada Raja Antiokhus Epifanes. Akhirnya dia tidak dapat lagi memegang jawatannya dengan cara yang terhormat, maka dia membunuh diri dengan minum racun.

14. Sesudah Gorgias menjadi gabenor Siria Besar dan Fenisia, dia memelihara suatu pasukan upahan, dan pada setiap kesempatan dia mengadakan peperangan melawan orang Yahudi.

15. Selain itu orang Idumea juga menguasai kubu-kubu yang penting dan terus-menerus mengganggu orang Yahudi. Mereka menampung orang pelarian dari Yerusalem dan terus berusaha untuk mengobarkan peperangan.

2 Makabe 10