38. Raja Demetrius melihat bahawa negeri baginda aman dan tenteram di bawah pemerintahan baginda, dan tidak ada lagi yang memberi perlawanan terhadap baginda. Maka dibubarkannya seluruh tentera baginda. Semua askar disuruh pulang ke rumah masing-masing, kecuali pasukan tentera asing yang diupah dari kepulauan Yunani. Kerana tindakan itu, askar-askar yang bekerja sejak raja-raja yang terdahulu mula membenci Raja Demetrius.
39. Antara orang yang dahulu menyokong Raja Aleksander, ada seorang yang bernama Trifon. Dia melihat bahawa semua pasukan bersungut terhadap Raja Demetrius. Oleh itu dia pergi bertemu dengan Imalkue, orang Arab yang mengasuh Antiokhus putera Raja Aleksander yang masih muda.
40. Lama juga Trifon tinggal di sana. Dia mendesak Imalkue untuk menyerahkan anak itu kepadanya supaya dapat dijadikan raja bagi menggantikan ayahandanya. Dia juga memberitahu Imalkue tentang tindakan-tindakan Raja Demetrius dan kebencian para askar terhadap baginda.
41. Sementara itu Yonatan mengajukan permohonan kepada Raja Demetrius supaya pasukan-pasukannya ditarik kembali dari kubu di Yerusalem dan dari kubu-kubu lainnya di Yudea, kerana mereka terus memerangi Israel.
42. Raja Demetrius menjawab, “Permintaan tuan akan beta kabulkan, dan apabila ada kesempatan, tuan dan bangsa tuan akan beta beri kehormatan besar.
43. Tetapi sekarang baiklah tuan mengirim orang untuk menolong beta berperang, oleh sebab semua pasukan beta sudah memberontak.”
44. Maka Yonatan mengirim 3,000 orang askar yang gagah berani ke Antiokhia. Raja suka sekali dengan kedatangan mereka.
45. Tetapi 120,000 orang penduduk kota telah berkumpul di pusat kota dengan maksud untuk membunuh raja.
46. Apabila orang ramai itu menduduki jalan-jalan dan mula menyerang, raja melarikan diri ke dalam istana.
47. Lalu raja meminta pertolongan pasukan Yahudi, dan mereka semua berkumpul di sekeliling baginda. Mereka berserakan di seluruh kota dan membunuh kira-kira 100,000 orang.
48. Mereka menyelamatkan raja lalu merampas kota itu dan membakarnya sehingga musnah.
49. Apabila orang ramai melihat bahawa kota mereka sudah dikuasai sepenuhnya oleh orang Yahudi, mereka berkecil hati dan berteriak-teriak meminta belas kasihan kepada raja. Kata mereka,
50. “Berdamailah dengan kami! Jangan biarkan orang Yahudi terus memerangi kami dan kota ini!”