Zefanya 3:6-10 Alkitab Berita Baik (BM)

6. TUHAN berfirman, “Aku telah melenyapkan banyak bangsa; Aku menghancurkan kota-kota mereka, dan menjadikan tembok serta menara-menara mereka itu reruntuhan. Kota-kota mereka sunyi tanpa penghuni dan jalan-jalan pun lengang; tiada lagi orang yang tinggal di situ.

7. Aku berfikir, ‘Sekarang sudah tentu umat-Ku menghormati Aku dan menerima tegur ajar-Ku. Pasti mereka selalu mengingat pengajaran yang Aku berikan kepada mereka.’ Tetapi nampaknya, mereka lebih giat lagi berbuat jahat daripada sebelumnya.”

8. TUHAN berfirman, “Tetapi awas! Tunggu saja harinya Aku bangkit sebagai saksi untuk menuduh bangsa-bangsa. Aku telah mengambil keputusan untuk mengumpulkan bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan supaya Aku dapat menimpakan kemurkaan-Ku kepada mereka. Seluruh bumi akan dimusnahkan oleh api kemurkaan-Ku.

9. Tetapi kemudian Aku akan mengubah hati bangsa-bangsa itu, sehingga mereka berdoa kepada-Ku sahaja dan bukan kepada tuhan-tuhan lain. Semua bangsa itu akan mentaati Aku.

10. Bahkan dari Etiopia yang jauh, umat-Ku yang tercerai-cerai itu akan datang dan mempersembahkan korban kepada-Ku.

Zefanya 3