1. TUHAN Yang Maha Kuasa memberikan perkhabaran ini kepada Zakharia,
2. “Aku ingin sekali menolong Yerusalem kerana Aku sangat mengasihi penduduknya, dan kerana kasih-Ku itu, Aku murka kepada musuh kota itu.
3. Aku akan kembali ke Yerusalem, kota-Ku yang suci itu dan menetap di situ. Yerusalem akan dikenal sebagai kota yang setia, dan bukit TUHAN Yang Maha Kuasa akan disebut bukit suci.
4. Datuk dan nenek yang sudah sangat tua, sehingga harus berjalan dengan tongkat, akan duduk lagi di padang kota Yerusalem.
5. Jalan-jalan di kota akan penuh lagi dengan anak lelaki dan anak perempuan yang bermain-main.
6. Hal itu nampaknya mustahil bagi orang yang masih hidup daripada bangsa ini, namun tidak mustahil bagi-Ku.
7. Aku akan menyelamatkan umat-Ku dari negeri-negeri tempat mereka dibuang,
8. dan membawa mereka kembali dari timur dan dari barat, supaya mereka tinggal di Yerusalem semula. Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku menjadi Allah mereka. Aku akan memerintah mereka dengan setia dan adil.
9. Beranikanlah hati kamu! Sekarang kamu mendengar kata-kata yang juga diucapkan dahulu oleh para nabi pada masa batu asas diletakkan untuk membina Rumah-Ku semula.
10. Sebelum masa itu, tiada orang yang mampu mengupah pekerja atau menyewa binatang, dan tiada orang yang berasa aman daripada gangguan musuh. Aku telah menyebabkan orang saling berlawan.