9. Ketua malaikat, Mikhael, tidak pernah berbuat demikian. Semasa dia bertengkar dengan Iblis tentang siapa yang akan mendapat jenazah Musa, Mikhael tidak berani mengutuk Iblis dengan kata-kata hinaan. Mikhael hanya berkata, “Tuhan menengking kamu!”
10. Tetapi semua orang derhaka itu menghina perkara-perkara yang sama sekali tidak dimengerti oleh mereka. Mereka mengetahui beberapa hal, tetapi seperti binatang yang tidak berakal, mereka mengetahuinya dengan naluri dan hal itulah yang membinasakan mereka.
11. Alangkah malangnya mereka! Mereka telah mengikut jalan yang ditempuh oleh Kain. Untuk mendapat wang, mereka telah membabitkan diri dengan kesesatan, seperti yang dilakukan oleh Bileam. Mereka dibinasakan kerana memberontak seperti Korah.
12. Kehadiran mereka mencemarkan perjumpaan makan bersama dengan saudara-saudara seiman, kerana mereka makan dengan rakus dan hanya mementingkan diri sendiri. Mereka seperti awan yang ditiup angin, tetapi tidak membawa hujan. Mereka juga seperti pokok yang tidak menghasilkan buah walaupun pada musim buah. Mereka seperti pokok yang sudah dicabut dengan akarnya dan mati sama sekali.
13. Mereka seperti ombak ganas di laut, yang membuihkan perbuatan memalukan. Mereka seperti bintang mengembara, yang tempatnya telah disediakan oleh Allah dalam kegelapan yang paling dahsyat untuk selama-lamanya.
14. Henokh, keturunan ketujuh daripada Adam, dahulu pernah bernubuat tentang mereka. Dia berkata, “Lihatlah! Tuhan akan datang dengan beribu-ribu malaikat-Nya yang suci.
15. Dia akan mengadili semua orang. Dia akan menghukum orang derhaka kerana perbuatan derhaka mereka dan kerana semua kata hinaan yang diucapkan mereka terhadap-Nya!”