Yosua 9:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Berita tentang kemenangan orang Israel didengar oleh semua raja negeri-negeri di sebelah barat Sungai Yordan: di perbukitan, di kaki-kaki bukit, dan di sepanjang kawasan pantai Laut Tengah, sampai ke Lebanon di sebelah utara. Mereka ialah raja-raja orang Het, Amori, Kanaan, Feris, Hewi, dan Yebusi.

2. Raja-raja itu bersepakat dan bergabung untuk menentang Yosua dan umat Israel.

3. Tetapi penduduk Gibeon, iaitu orang Hewi, mendengar apa yang telah dilakukan Yosua terhadap kota Yerikho dan Ai.

4. Oleh itu mereka bercadang untuk menipu Yosua. Mereka mengambil makanan dan memuat keldai-keldai mereka dengan karung-karung yang usang dan kirbat kulit yang bertampal.

5. Mereka memakai kasut lama yang bertampal dan pakaian yang koyak-koyak. Mereka membawa roti yang kering dan berlapuk.

6. Kemudian mereka pergi ke perkhemahan di Gilgal dan berkata kepada Yosua serta orang Israel, “Kami datang dari negeri jauh. Tolong buat perjanjian dengan kami.”

7. Tetapi orang Israel berkata, “Mengapa kami harus membuat perjanjian dengan kamu? Mungkin kamu tinggal di sekitar sini.”

8. Mereka berkata kepada Yosua, “Kami hamba tuan.”Yosua bertanya kepada mereka, “Siapakah kamu? Dari manakah kamu?”

9. Kemudian mereka menceritakan kisah ini, “Tuan, kami berasal dari negeri yang sangat jauh. Kami datang kerana kami mendengar tentang TUHAN, Allah tuan. Kami telah mendengar segala sesuatu yang dilakukan-Nya di Mesir,

Yosua 9