Yosua 8:25-26-35 Alkitab Berita Baik (BM)

3. Oleh itu Yosua dan semua askarnya bersiap untuk pergi ke kota Ai. Yosua memilih 30,000 orang daripada askarnya yang terbaik dan menyuruh mereka berangkat pada waktu malam.

4. Yosua memberi mereka arahan, “Bersembunyilah di belakang kota itu, tetapi jangan terlalu jauh. Bersiaplah untuk menyerangnya.

5. Aku dan anak buahku akan menghampiri kota itu. Apabila orang Ai keluar untuk menyerang kami, kami akan berbalik dan lari seperti yang kita lakukan pada kali yang pertama.

6. Mereka akan mengejar kami sehingga jauh dari kota. Mereka akan menyangka bahawa kami melarikan diri daripada mereka seperti yang kita lakukan dahulu.

7. Pada masa itu kamu harus keluar dari persembunyian dan merebut kota itu. TUHAN, Allah kamu akan memberikan kota itu kepada kamu.

8. Setelah kamu merebut kota itu, bakarlah kota itu sesuai dengan perintah TUHAN. Itulah perintah untuk kamu.”

9. Kemudian Yosua menyuruh mereka berangkat; mereka pergi ke tempat persembunyian dan menunggu di situ. Tempat itu terletak di sebelah barat Ai, di antara Ai dan Betel. Yosua bermalam di perkhemahan.

25-26. Yosua terus mengacungkan tombaknya ke arah Ai dan tidak menurunkan tangannya sehingga semua orang di kota itu telah dibunuh. Semua penduduk Ai dibunuh pada hari itu; semuanya berjumlah 12,000 orang lelaki dan perempuan.

27. Umat Israel menyimpan ternakan dan barang jarahan dari kota itu untuk diri mereka sendiri, menurut perintah TUHAN kepada Yosua.

28. Yosua membakar kota Ai dan membiarkannya menjadi reruntuhan. Keadaan kota itu masih begitu sampai hari ini.

29. Yosua menggantung raja Ai pada sebatang pokok dan mayatnya dibiarkan di situ sehingga senja. Pada waktu matahari terbenam, Yosua memerintahkan orang supaya menurunkan mayat itu dan membuangnya di hadapan pintu gerbang kota. Mereka menimbuni mayat itu dengan batu sehingga menjadi satu timbunan yang besar; batu-batu itu masih ada di situ sampai hari ini.

30. Kemudian Yosua membina sebuah mazbah untuk TUHAN, Allah Israel, di Gunung Ebal.

31. Dia membinanya menurut petunjuk yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN itu kepada umat Israel, sebagaimana yang tertulis di dalam Taurat Musa, “sebuah mazbah yang dibina daripada batu-batu yang tidak dipahat dengan alat-alat besi.” Mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN di atas mazbah itu.

32. Di sana, di hadapan umat Israel, Yosua menulis pada batu-batu mazbah itu salinan Taurat yang ditulis oleh Musa.

33. Umat Israel bersama dengan para pemimpin, pegawai, dan hakim mereka, serta orang asing yang tinggal di kalangan mereka, berdiri di dua sisi Tabut Perjanjian. Mereka menghadap imam-imam suku Lewi yang menggotong Tabut itu. Separuh daripada umat Israel menghadap ke arah Gunung Gerizim dan separuh lagi menghadap ke arah Gunung Ebal. Musa, hamba TUHAN, telah memberikan perintah kepada mereka untuk berbuat demikian apabila tiba masanya mereka diberkati.

34. Kemudian Yosua membacakan seluruh Taurat itu dengan kuat, termasuk segala berkat dan kutukannya, tepat seperti yang tertulis di dalam Kitab Taurat.

35. Tiap-tiap perintah Musa dibacakan oleh Yosua di hadapan semua umat, termasuk kaum perempuan dan kanak-kanak, serta orang asing yang tinggal di kalangan mereka.

Yosua 8