Yosua 8:13-32 Alkitab Berita Baik (BM)

13. Tentera itu diarah bertempur mengikut susunan berikut: pasukan utama berada di sebelah utara kota dan yang selebihnya di sebelah barat. Yosua sendiri bermalam di lembah itu.

14. Ketika raja kota Ai nampak askar-askar Yosua, raja bertindak dengan segera. Raja dan semua anak buahnya berangkat ke arah Lembah Yordan untuk berperang dengan tentera Israel di tempat pertempuran dahulu. Raja tidak tahu bahawa baginda akan diserbu dari belakang.

15. Yosua dan anak buahnya berpura-pura berundur dan lari ke arah kawasan tanah gersang.

16. Semua orang lelaki di kota Ai telah dikumpulkan untuk mengejar Yosua dan anak buahnya. Sedang mereka mengejar Yosua, mereka bertambah jauh dari kota Ai.

17. Semua orang lelaki dari kota Ai mengejar orang Israel, sehingga kota itu dibiarkan terbuka dan tidak dikawal. Tiada seorang pun yang membela kota itu.

18. Kemudian TUHAN berfirman kepada Yosua, “Acungkanlah tombakmu ke arah kota Ai; Aku akan memberikan kota itu kepadamu.” Yosua pun melakukannya.

19. Sebaik sahaja Yosua mengangkat tangannya, askar-askar yang bersembunyi segera bangkit, lalu lari ke dalam kota itu dan menyerangnya. Mereka merebut kota itu lalu terus membakarnya.

20. Apabila orang Ai menoleh ke belakang, mereka nampak asap membumbung ke langit. Mereka tidak dapat melarikan diri kerana orang Israel yang telah lari ke arah tanah gersang tadi, berpatah balik pula dan menyerang mereka.

21. Apabila Yosua dan anak buahnya nampak bahawa pasukan yang lain telah merebut kota itu dan membakarnya, mereka berpatah balik dan mula membunuh orang Ai.

22. Orang Israel yang di kota itu pun datang dan turut menyerang mereka. Oleh itu orang Ai dikepung oleh orang Israel, lalu semua orang Ai dibunuh. Tiada seorang pun dapat melarikan diri dan tiada sesiapa pun terselamat

23. kecuali raja Ai. Baginda ditangkap dan dibawa kepada Yosua.

24. Orang Israel membunuh semua musuh yang mengejar mereka di tanah gersang. Kemudian orang Israel kembali ke kota Ai dan membunuh semua orang di sana.

25-26. Yosua terus mengacungkan tombaknya ke arah Ai dan tidak menurunkan tangannya sehingga semua orang di kota itu telah dibunuh. Semua penduduk Ai dibunuh pada hari itu; semuanya berjumlah 12,000 orang lelaki dan perempuan.

27. Umat Israel menyimpan ternakan dan barang jarahan dari kota itu untuk diri mereka sendiri, menurut perintah TUHAN kepada Yosua.

28. Yosua membakar kota Ai dan membiarkannya menjadi reruntuhan. Keadaan kota itu masih begitu sampai hari ini.

29. Yosua menggantung raja Ai pada sebatang pokok dan mayatnya dibiarkan di situ sehingga senja. Pada waktu matahari terbenam, Yosua memerintahkan orang supaya menurunkan mayat itu dan membuangnya di hadapan pintu gerbang kota. Mereka menimbuni mayat itu dengan batu sehingga menjadi satu timbunan yang besar; batu-batu itu masih ada di situ sampai hari ini.

30. Kemudian Yosua membina sebuah mazbah untuk TUHAN, Allah Israel, di Gunung Ebal.

31. Dia membinanya menurut petunjuk yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN itu kepada umat Israel, sebagaimana yang tertulis di dalam Taurat Musa, “sebuah mazbah yang dibina daripada batu-batu yang tidak dipahat dengan alat-alat besi.” Mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN di atas mazbah itu.

32. Di sana, di hadapan umat Israel, Yosua menulis pada batu-batu mazbah itu salinan Taurat yang ditulis oleh Musa.

Yosua 8