Yosua 8:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

1. TUHAN berfirman kepada Yosua, “Bawalah semua askar dan pergilah ke kota Ai. Janganlah takut ataupun tawar hati. Aku akan memberi kamu kemenangan atas raja Ai; rakyat, kota, dan tanahnya akan menjadi milik kamu.

2. Perlakukanlah kota Ai dan rajanya sebagaimana kamu memperlakukan kota Yerikho dan rajanya, tetapi kali ini kamu boleh mengambil harta benda dan ternakannya untuk diri kamu sendiri. Bersiaplah untuk menyerang kota itu secara mengejut dari belakang.”

3. Oleh itu Yosua dan semua askarnya bersiap untuk pergi ke kota Ai. Yosua memilih 30,000 orang daripada askarnya yang terbaik dan menyuruh mereka berangkat pada waktu malam.

4. Yosua memberi mereka arahan, “Bersembunyilah di belakang kota itu, tetapi jangan terlalu jauh. Bersiaplah untuk menyerangnya.

5. Aku dan anak buahku akan menghampiri kota itu. Apabila orang Ai keluar untuk menyerang kami, kami akan berbalik dan lari seperti yang kita lakukan pada kali yang pertama.

6. Mereka akan mengejar kami sehingga jauh dari kota. Mereka akan menyangka bahawa kami melarikan diri daripada mereka seperti yang kita lakukan dahulu.

7. Pada masa itu kamu harus keluar dari persembunyian dan merebut kota itu. TUHAN, Allah kamu akan memberikan kota itu kepada kamu.

8. Setelah kamu merebut kota itu, bakarlah kota itu sesuai dengan perintah TUHAN. Itulah perintah untuk kamu.”

9. Kemudian Yosua menyuruh mereka berangkat; mereka pergi ke tempat persembunyian dan menunggu di situ. Tempat itu terletak di sebelah barat Ai, di antara Ai dan Betel. Yosua bermalam di perkhemahan.

10. Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi dan memanggil askar-askar berkumpul. Kemudian Yosua dan para pemimpin umat Israel memimpin pasukan askar itu ke kota Ai.

11. Askar-askar yang bersama dengan Yosua menuju ke pintu gerbang kota dan berkhemah di sebelah utara; ada lembah di antara mereka dan kota Ai.

12. Yosua membawa kira-kira 5,000 orang dan menyuruh mereka bersembunyi di sebelah barat kota itu, di antara Ai dan Betel.

13. Tentera itu diarah bertempur mengikut susunan berikut: pasukan utama berada di sebelah utara kota dan yang selebihnya di sebelah barat. Yosua sendiri bermalam di lembah itu.

14. Ketika raja kota Ai nampak askar-askar Yosua, raja bertindak dengan segera. Raja dan semua anak buahnya berangkat ke arah Lembah Yordan untuk berperang dengan tentera Israel di tempat pertempuran dahulu. Raja tidak tahu bahawa baginda akan diserbu dari belakang.

15. Yosua dan anak buahnya berpura-pura berundur dan lari ke arah kawasan tanah gersang.

Yosua 8