Yosua 7:6-14 Alkitab Berita Baik (BM)

6. Yosua dan para pemimpin Israel mengoyak-ngoyakkan pakaian kerana dukacita, lalu sujud di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN sehingga senja. Mereka juga menghamburkan debu di atas kepala untuk menunjukkan kesedihan mereka.

7. Yosua berkata. “Ya TUHAN Raja, mengapakah Engkau membawa kami menyeberang Sungai Yordan? Adakah Engkau hendak menyerahkan kami kepada orang Amori supaya dibinasakan oleh mereka? Mengapakah Engkau tidak membiarkan kami tinggal saja di seberang sungai itu?

8. Ya Tuhan, apakah yang dapat aku katakan sekarang, setelah orang Israel dipukul mundur oleh musuh?

9. Orang Kanaan dan semua orang di negeri ini akan mendengar tentang hal itu. Mereka akan mengepung kami lalu membunuh kami semua! Kemudian apakah yang akan Engkau buat untuk mempertahankan kehormatan-Mu?”

10. TUHAN berfirman kepada Yosua, “Bangunlah! Mengapakah engkau sujud demikian?

11. Umat Israel telah berdosa! Mereka melanggar perjanjian yang Aku suruh mereka pegang. Mereka telah mengambil sebahagian daripada barang-barang yang sepatutnya dimusnahkan. Mereka mencuri barang-barang itu lalu berdusta pula. Mereka menyimpannya bersama dengan barang-barang mereka sendiri.

12. Itulah sebabnya orang Israel tidak dapat melawan musuh. Mereka terpaksa mundur kerana mereka sendiri telah dijatuhi hukuman untuk dibinasakan. Aku tidak akan menyertai kamu lagi kecuali kamu memusnahkan barang-barang yang tidak sepatutnya kamu simpan.

13. Bangunlah! Sucikanlah umat dan suruhlah mereka bersedia menghadap Aku. Suruhlah mereka bersedia menghadap Aku esok kerana Aku, TUHAN dan Allah umat Israel berfirman, ‘Hai orang Israel, ada pada kamu sebahagian barang yang sepatutnya dimusnahkan menurut perintah-Ku. Kamu tidak dapat mengalahkan musuh sebelum kamu membuang barang-barang itu.’

14. Oleh itu beritahulah mereka bahawa pada pagi esok mereka akan dihadapkan kepada-Ku, suku demi suku. Suku yang Aku tunjuk akan tampil, puak demi puak. Puak yang Aku tunjuk akan tampil, keluarga demi keluarga. Keluarga yang Aku tunjuk akan tampil, seorang demi seorang.

Yosua 7