1. Semua raja orang Amori di sebelah barat Sungai Yordan dan semua raja orang Kanaan di sepanjang pantai Laut Tengah mendengar bahawa TUHAN telah mengeringkan Sungai Yordan sehingga umat Israel sudah menyeberanginya. Raja-raja itu takut dan hilang semangat kerana umat Israel.
2. Kemudian TUHAN berfirman kepada Yosua, “Buatlah beberapa bilah pisau daripada batu dan sunatlah orang Israel.”
3. Yosua menurut perintah TUHAN lalu menyunatkan orang Israel di tempat yang dinamakan Bukit Sunat.
7. Anak-anak lelaki semua orang itu belum disunat. Generasi baru itulah yang disunat oleh Yosua.
8. Setelah disunat, mereka semua tinggal di perkhemahan sehingga mereka sembuh.
9. TUHAN berfirman kepada Yosua, “Pada hari ini Aku telah menghapuskan kehinaan kamu kerana menjadi hamba di Mesir.” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Gilgal sampai pada hari ini.
10. Ketika umat Israel berkhemah di Gilgal di dataran berhampiran dengan kota Yerikho, mereka merayakan Paska pada waktu senja, pada hari keempat belas bulan itu.
11. Esok harinya, untuk kali pertama mereka makan hasil tanaman di Kanaan: biji-bijian yang dipanggang dan roti tanpa ragi.
12. Pada masa itu manna tidak lagi jatuh ke tanah dan umat Israel tidak mendapatnya lagi. Mulai hari itu, mereka makan hasil tanaman di Kanaan.
13. Ketika Yosua berada dekat kota Yerikho, tiba-tiba dia nampak seorang lelaki dengan pedang terhunus, berdiri di hadapannya. Yosua menghampiri dia dan bertanya, “Adakah kamu ini salah seorang askar kami atau seorang musuh?”