Yosua 24:7-20 Alkitab Berita Baik (BM)

7. mereka berseru kepada-Ku minta tolong; Aku mendatangkan kegelapan di antara mereka dan orang Mesir. Aku menutupi orang Mesir dengan air laut sehingga mereka mati lemas. Kamu tahu apa yang Aku lakukan terhadap Mesir.Lama sekali kamu tinggal di gurun.

8. Kemudian Aku membawa kamu ke tanah orang Amori yang tinggal di sebelah timur Sungai Yordan. Mereka berperang melawan kamu, tetapi Aku memberi kamu kemenangan atas mereka. Kamu merebut tanah mereka dan Aku membinasakan mereka apabila kamu menyerang mereka.

9. Selepas itu, penguasa Moab, Raja Balak anak Zipor, berperang melawan Israel. Raja Balak mengutus orang kepada Bileam anak Beor dan meminta dia mengutuk kamu.

10. Tetapi Aku tidak mengabulkan permintaan Bileam. Sebaliknya, dia memberkati kamu; Aku menyelamatkan kamu daripada Raja Balak.

11. Kamu menyeberang Sungai Yordan dan tiba di kota Yerikho. Penduduk Yerikho berperang melawan kamu; demikian juga orang Amori, Feris, Kanaan, Het, Girgasi, Hewi, dan Yebusi. Tetapi Aku memberi kamu kemenangan atas mereka semua.

12. Apabila kamu menyerang mereka, Aku mengacau-bilaukan mereka untuk mengusir dua orang raja Amori itu. Pedang dan panah kamu tidak menyebabkan kamu menang.

13. Aku memberi kamu negeri yang tidak kamu usahakan dan kota-kota yang tidak kamu bina. Sekarang kamu tinggal di negeri itu dan makan buah anggur dan zaitun dari pokok-pokok yang tidak kamu tanam.’ ”

14. “Oleh itu,” kata Yosua, “hormatilah TUHAN dan mengabdilah kepada-Nya dengan ikhlas dan setia. Buanglah tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia dan di Mesir dahulu. Mengabdilah kepada TUHAN sahaja.

15. Jika kamu tidak mahu mengabdi kepada-Nya, tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi, kepada tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia, atau kepada tuhan-tuhan orang Amori di negeri yang kamu tinggal sekarang. Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada TUHAN.”

16. Umat Israel menjawab, “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan TUHAN untuk mengabdi kepada tuhan-tuhan lain!

17. TUHAN, Allah kita telah melepaskan nenek moyang kita dan kita sendiri daripada perhambaan di Mesir, dan kita telah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. Dia telah melindungi kita dalam semua perjalanan kita melalui negeri-negeri asing.

18. Ketika kita menyerang negeri ini, TUHAN mengusir semua orang Amori yang tinggal di sini. Oleh itu, kami juga akan mengabdi kepada TUHAN; Dialah Allah kita.”

19. Kemudian Yosua berkata kepada umat itu, “Tetapi mungkin kamu tidak akan sanggup mengabdi kepada TUHAN. Dia Allah yang suci, dan Dia tidak akan mengampunkan dosa kamu. Dia tidak mahu ada saingan.

20. Jika kamu meninggalkan Dia lalu mengabdi kepada tuhan-tuhan bangsa asing, Dia akan menentang kamu dan menghukum kamu. Dia akan membinasakan kamu, walaupun dahulu Dia baik terhadap kamu.”

Yosua 24