Yosua 23:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Lama selepas itu, TUHAN memberikan keamanan kepada umat Israel; mereka tidak lagi diganggu oleh ancaman musuh di sekitar mereka. Pada waktu itu Yosua sudah sangat tua.

2. Maka dia mengumpulkan semua orang Israel, termasuk para pemuka, para pemimpin, para hakim, dan para pegawai, lalu Yosua berkata, “Sekarang saya sudah sangat tua.

3. Kamu telah melihat segala yang telah dilakukan TUHAN, Allah kamu terhadap bangsa-bangsa ini untuk kamu. TUHAN, Allah kamu telah berperang untuk kamu.

4. Saya sudah membahagi-bahagikan tanah bangsa-bangsa ini kepada suku-suku kamu sebagai milik kamu, baik tanah yang belum ditaklukkan mahupun tanah yang sudah ditaklukkan, bermula dari Sungai Yordan di sebelah timur sampai ke Laut Tengah di sebelah barat.

5. TUHAN, Allah kamu akan menyebabkan mereka berundur dan lari daripada kamu apabila kamu memerangi mereka. Kamu akan memiliki tanah mereka sebagaimana yang telah dijanjikan oleh TUHAN, Allah kamu.

6. Oleh itu, kamu harus bersungguh-sungguh mentaati dan melakukan segala sesuatu yang tercatat di dalam Kitab Taurat Musa. Jangan langgar satu pun daripada hukum itu.

7. Dengan demikian kamu tidak akan bergaul dengan bangsa-bangsa yang masih di kalangan kamu; kamu tidak akan menyebut nama dewa-dewa mereka dan tidak akan menggunakan nama-nama itu untuk bersumpah; kamu tidak akan bersembahyang atau bersujud kepada dewa-dewa itu.

8. Sebaliknya, setialah kepada TUHAN sebagaimana kamu telah setia kepada-Nya sampai sekarang.

9. TUHAN telah mengusir bangsa-bangsa yang besar dan kuat apabila kamu memerangi mereka; tidak pernah seorang pun berjaya menentang kamu.

10. Satu orang di kalangan kamu dapat mengalahkan seribu orang musuh, kerana TUHAN, Allah kamu berperang untuk kamu sebagaimana yang dijanjikan-Nya.

Yosua 23