15. Rumah Rahab dibina pada tembok kota. Oleh itu, dengan menggunakan tali dia menurunkan pengintip-pengintip itu ke luar tembok melalui tingkap.
16. Rahab berkata, “Pergilah ke kawasan perbukitan supaya kamu tidak dijumpai oleh para utusan raja itu. Bersembunyilah di situ selama tiga hari sehingga para utusan itu kembali. Kemudian teruskanlah perjalanan kamu.”
17. Para pengintip itu berkata kepada Rahab, “Kami akan memenuhi janji kami ini menurut permintaanmu.
18. Lakukanlah hal ini. Apabila kami menyerang negeri kamu, ikatkanlah tali merah ini pada tingkap tempat kamu menurunkan kami. Kumpulkanlah ibu bapamu, saudara-saudaramu dan semua sanak keluarga bapamu di rumahmu.
19. Sesiapa antara mereka yang keluar dari rumah ini, kematiannya bukanlah tanggungjawab kami; itu kesalahannya sendiri. Tetapi jika seseorang yang berada di rumahmu cedera, kamilah yang bertanggungjawab.
20. Sebaliknya, jika kamu memberitahu orang tentang kami, bebaslah kami daripada janji kami ini.”
21. Rahab menyetujui hal itu lalu menyuruh mereka pergi. Setelah mereka pergi, dia mengikat tali merah itu pada tingkapnya.
22. Pengintip-pengintip itu pergi ke kawasan perbukitan dan bersembunyi di sana. Para utusan raja mencari mereka di seluruh kawasan luar kota selama tiga hari, tetapi tidak menjumpai mereka. Oleh itu para utusan raja kembali ke kota Yerikho.
23. Barulah pengintip-pengintip itu turun dari perbukitan, menyeberangi sungai, lalu kembali kepada Yosua. Mereka memberitahu Yosua segala yang telah berlaku kepada mereka.
24. Kemudian mereka berkata, “Kami pasti bahawa TUHAN telah memberi kita seluruh negeri itu. Semua penduduk negeri itu takut kepada kita.”