Yosua 18:8-16 Alkitab Berita Baik (BM)

8. Semua orang yang dipilih itu pergi untuk mencatat keadaan tanah itu sesudah Yosua berpesan kepada mereka, “Pergilah tinjau seluruh tanah ini dan catatlah batas-batasnya, lalu kembalilah kepadaku. Kemudian aku akan membuang undi di Silo, untuk mengetahui kehendak TUHAN bagi kamu.”

9. Kemudian semua orang yang dipilih itu menjelajahi seluruh tanah. Mereka mencatat cara pembahagian tujuh bahagian itu, dan juga membuat senarai kota-kota di situ. Selepas itu mereka kembali kepada Yosua di perkhemahan di Silo.

10. Yosua membuang undi untuk mengetahui kehendak TUHAN bagi mereka, lalu memberikan sebahagian tanah kepada setiap suku Israel yang belum mendapat bahagian tanah.

11. Keluarga-keluarga dalam suku Benyamin ialah suku yang pertama menerima bahagian tanah. Tanah mereka terletak di antara tanah suku Yehuda dan tanah suku Yusuf.

12. Di utara, sempadan wilayah mereka bermula dari Sungai Yordan, lalu naik ke lereng di sebelah utara Yerikho, lalu ke barat melalui kawasan perbukitan sampai ke padang gurun Bet-Awen.

13. Sempadan itu menuju ke lereng di sebelah selatan Lus (yang juga disebut Betel), lalu turun ke Atarot-Adar, di gunung di sebelah selatan Bet-Horon-Hilir.

14. Kemudian sempadan itu menghala ke selatan dari sebelah barat gunung itu, lalu menuju ke kota Kiryat-Baal (atau Kiryat-Yearim). Kota ini milik suku Yehuda. Itulah sempadan barat wilayah itu.

15. Sempadan di sebelah selatan bermula dari pinggir kota Kiryat-Yearim lalu menghala ke mata air Me-Neftoah.

16. Sempadan itu turun ke kaki gunung yang berhadapan dengan Lembah Hinom, di hujung bahagian utara Lembah Refaim. Kemudian sempadan itu menghala ke selatan melalui Lembah Hinom sampai ke rabung di selatan di tanah orang Yebusi, lalu menghala ke mata air En-Rogel.

Yosua 18