8. kemudian naik melalui Lembah Hinom di sebelah selatan bukit, tempat letaknya Yerusalem, kota orang Yebusi. Dari situ sempadan itu menuju ke puncak bukit itu, di sebelah barat Lembah Hinom, iaitu di hujung bahagian utara Lembah Refaim.
9. Dari situ sempadan itu menuju ke mata air Neftoah, sampai ke kota-kota dekat Gunung Efron. Dari situ sempadan membelok ke arah Baala (iaitu Kiryat-Yearim),
10. lalu mengelilingi bahagian barat Baala ke arah perbukitan Edom dan menghala ke bahagian utara Gunung Yearim (atau Gunung Kesalon), lalu turun ke Bet-Semes dan kemudian ke Timna.
11. Dari situ sempadan itu menuju ke bukit di sebelah utara Ekron, membelok ke arah Sikron, melalui Gunung Baala sampai ke Yabneel. Sempadan itu berakhir di Laut Tengah,
12. yang menjadi sempadan di bahagian barat.Keluarga-keluarga suku Yehuda tinggal di dalam wilayah itu.
13. Sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Yosua, sebahagian daripada wilayah Yehuda diberikan kepada Kaleb anak Yefune. Kaleb mendapat kota Hebron, milik Arba, iaitu bapa Enak.
14. Kaleb mengusir keturunan Enak, iaitu puak Sesai, Ahiman, dan Talmai keluar dari kota itu.
15. Dari sana Kaleb pergi menyerang orang yang tinggal di Debir. (Dahulu kota itu disebut Kiryat-Sefer.)
16. Kaleb berkata, “Aku akan mengahwinkan anak perempuanku, Akhsa, dengan orang yang berjaya merebut Kiryat-Sefer.”
17. Otniel anak Kenas, iaitu anak saudara Kaleb, berjaya merebut kota itu, lalu Kaleb mengahwinkan anak perempuannya, Akhsa dengan Otniel.
18. Pada hari perkahwinan itu, Otniel mendesak Akhsa supaya meminta sebidang tanah daripada bapanya. Akhsa turun dari keldainya, lalu Kaleb bertanya, “Apa yang engkau mahu?”