Yosua 13:2-15 Alkitab Berita Baik (BM)

2. semua wilayah Filistin dan Gesur,

3. dan juga seluruh wilayah Awi ke arah selatan. (Tanah dari Sungai Sikhor di sempadan Mesir, sampai ke sempadan Ekron di utara, dianggap sebagai tanah orang Kanaan; raja-raja orang Filistin tinggal di Gaza, Asdod, Askelon, Gat, dan Ekron.)

4. Tanah yang masih harus direbut: seluruh negeri Kanaan dan Meara (milik orang Sidon), sampai ke Afek di sempadan negeri orang Amori;

5. tanah orang Gebal; seluruh kawasan Lebanon ke arah timurnya, dari Baal-Gad di sebelah selatan Gunung Hermon sampai ke Genting Hamat;

6. termasuk juga seluruh negeri orang Sidon, yang tinggal di perbukitan di antara Pergunungan Lebanon dan Misrefot-Maim. Aku akan mengusir semua orang itu apabila umat Israel menyerang mereka. Bahagikanlah dan berikanlah tanah itu kepada umat Israel sebagai milik mereka, sebagaimana yang telah Aku perintahkan kepadamu.

7. Sekarang, bahagi-bahagikanlah tanah itu kepada sembilan suku yang lain dan setengah daripada suku Manasye supaya menjadi tanah milik mereka.”

8. Suku Ruben, Gad, dan setengah daripada suku Manasye telah mendapat bahagian tanah yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN; kawasan tanah itu di sebelah timur Sungai Yordan.

9. Wilayah mereka meliputi Aroer (di tepi lembah Sungai Arnon) dan kota yang di tengah-tengah lembah itu, termasuk semua dataran tinggi dari Medeba sampai ke Dibon.

10. Tanah mereka terbentang luas sampai ke sempadan Amon, termasuk semua kota yang diperintah oleh Raja Sihon, raja orang Amori, yang pernah memerintah di Hesybon;

11. termasuk juga daerah Gilead, daerah di sekitar Gesur dan Maakha, seluruh kawasan Gunung Hermon, dan seluruh daerah Basan sampai ke Salkha.

12. Tanah mereka meliputi kerajaan Raja Og, raja yang pernah memerintah di Asytarot dan Edrei. Raja Og ialah keturunan yang terakhir sekali daripada orang Refaim. Musa telah mengalahkan semua orang itu dan mengusir mereka.

13. Tetapi orang Israel tidak mengusir penduduk Gesur dan Maakha; mereka masih tinggal di Israel.

14. Musa tidak memberikan tanah kepada suku Lewi kerana menurut perintah TUHAN kepada Musa, mereka diberikan bahagian daripada korban-korban yang dibakar di atas mazbah untuk TUHAN, Allah Israel.

15. Musa telah memberikan sebahagian tanah kepada keluarga-keluarga suku Ruben sebagai milik mereka.

Yosua 13