8. TUHAN berfirman kepada Yosua, “Janganlah takut akan mereka. Aku telah memberi engkau kemenangan. Tidak seorang pun daripada mereka akan dapat menentang engkau.”
9. Sepanjang malam Yosua dan tenteranya berjalan dari Gilgal menuju ke Gibeon, lalu mereka menyerang orang Amori secara mendadak.
10. TUHAN menyebabkan orang Amori cemas apabila melihat tentera Israel. Orang Israel membunuh mereka di Gibeon dan mengejar musuh yang masih hidup, ke genting gunung di Bet-Horon sampai ke Azeka dan Makeda di selatan.
11. Ketika orang Amori lari daripada umat Israel melalui genting gunung, TUHAN menurunkan hujan batu ke atas mereka sepanjang jalan sampai ke Azeka, sehingga lebih banyak orang yang terbunuh oleh hujan batu daripada yang dibunuh oleh orang Israel.
12. Pada hari TUHAN memberikan kemenangan kepada umat Israel terhadap orang Amori, Yosua bercakap dengan TUHAN. Di hadapan umat Israel Yosua berkata,“Hai matahari, berhentilah di atas Gibeon.Hai bulan, berhentilah di atas Lembah Ayalon.”
13. Matahari berhenti dan bulan pun tidak bergerak sehingga umat Israel telah mengalahkan musuh mereka. Kisah ini tertulis di dalam Kitab Yasar. Matahari berhenti di tengah-tengah langit sehari suntuk, dan lama sekali barulah matahari terbenam pada hari itu.
14. Baik pada masa lampau mahupun sejak hari itu, hal seperti itu tidak pernah berlaku apabila TUHAN menurut keinginan manusia. Pada hari itu TUHAN berperang bagi pihak umat Israel.
15. Selepas itu Yosua dan tenteranya kembali ke perkhemahan di Gilgal.
16. Tetapi lima orang raja Amori itu melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah gua di Makeda.
17. Apabila mereka dijumpai, Yosua diberitahu tempat persembunyian mereka.
18. Yosua berkata, “Gulingkanlah batu-batu besar ke mulut gua itu. Tugaskan beberapa orang pengawal di situ,
19. tetapi jangan kamu berhenti di tempat itu. Kejarlah musuh dan seranglah mereka dari belakang. Jangan biar mereka masuk ke kota mereka! TUHAN, Allah kamu telah memberi kamu kemenangan atas mereka.”
20. Yosua dan umat Israel membunuh orang Amori, walaupun ada beberapa orang yang berjaya menyelamatkan diri di dalam kota mereka sehingga tidak dibunuh.
21. Selepas itu seluruh tentera Israel kembali dengan selamat kepada Yosua di Makeda.Tiada sesiapa pun di negeri itu yang berani bersuara menentang umat Israel.
22. Kemudian Yosua berkata, “Bukalah mulut gua itu dan bawalah lima orang raja itu kepadaku.”
23. Gua itu dibuka dan raja-raja kota Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, dan Eglon dibawa keluar,
24. lalu dihadapkan kepada Yosua. Kemudian Yosua memanggil semua orang Israel berkumpul, lalu memerintah para panglima yang berperang bersama-sama dia, supaya meletakkan kaki mereka pada leher raja-raja itu. Mereka pun berbuat demikian.
25. Setelah itu Yosua berkata kepada para panglimanya, “Jangan takut ataupun tawar hati. Kamu mesti yakin dan berani kerana inilah yang akan dilakukan TUHAN kepada semua musuh kamu.”