18. Yosua berkata, “Gulingkanlah batu-batu besar ke mulut gua itu. Tugaskan beberapa orang pengawal di situ,
19. tetapi jangan kamu berhenti di tempat itu. Kejarlah musuh dan seranglah mereka dari belakang. Jangan biar mereka masuk ke kota mereka! TUHAN, Allah kamu telah memberi kamu kemenangan atas mereka.”
20. Yosua dan umat Israel membunuh orang Amori, walaupun ada beberapa orang yang berjaya menyelamatkan diri di dalam kota mereka sehingga tidak dibunuh.
21. Selepas itu seluruh tentera Israel kembali dengan selamat kepada Yosua di Makeda.Tiada sesiapa pun di negeri itu yang berani bersuara menentang umat Israel.
22. Kemudian Yosua berkata, “Bukalah mulut gua itu dan bawalah lima orang raja itu kepadaku.”
23. Gua itu dibuka dan raja-raja kota Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, dan Eglon dibawa keluar,
24. lalu dihadapkan kepada Yosua. Kemudian Yosua memanggil semua orang Israel berkumpul, lalu memerintah para panglima yang berperang bersama-sama dia, supaya meletakkan kaki mereka pada leher raja-raja itu. Mereka pun berbuat demikian.
25. Setelah itu Yosua berkata kepada para panglimanya, “Jangan takut ataupun tawar hati. Kamu mesti yakin dan berani kerana inilah yang akan dilakukan TUHAN kepada semua musuh kamu.”
26. Kemudian Yosua membunuh raja-raja itu dan menggantung mayat-mayat itu pada lima batang pokok, lalu membiarkan mayat di situ sehingga senja.
27. Pada waktu matahari terbenam, Yosua memberikan perintah untuk menurunkan mayat-mayat itu dan membuang semuanya ke dalam gua tempat raja-raja itu bersembunyi dahulu. Batu-batu besar diletakkan pada mulut gua itu; batu-batu itu masih ada di situ sampai sekarang.
28. Yosua menyerang kota Makeda lalu merebutnya pada hari itu. Dia membunuh rajanya dan semua orang di kota itu. Tiada seorang pun yang tertinggal, semuanya dibunuh. Yosua memperlakukan raja kota Makeda seperti dia memperlakukan raja kota Yerikho.
29. Selepas itu Yosua dan tenteranya berangkat dari Makeda lalu pergi ke Libna. Mereka menyerang kota Libna.
30. TUHAN juga memberi umat Israel kemenangan atas kota itu dan rajanya. Mereka tidak membiarkan sesiapa pun hidup. Mereka membunuh tiap-tiap orang di dalam kota itu. Mereka memperlakukan raja itu seperti mereka memperlakukan raja kota Yerikho.
31. Dari Libna, Yosua dan tenteranya berangkat ke Lakhis. Mereka mengepung kota itu lalu menyerangnya.
32. Pada hari kedua pertempuran itu, TUHAN memberi mereka kemenangan atas kota itu. Mereka tidak membiarkan seorang pun hidup di Lakhis. Seperti yang dilakukan mereka di Libna, mereka membunuh semua orang di kota itu.
33. Raja Horam dari kota Gezer datang untuk menolong Lakhis tetapi Yosua mengalahkan raja dan tenteranya, dan tiada seorang pun dibiarkan hidup. Semuanya dibunuh.
34. Dari Lakhis, Yosua dan tenteranya berangkat pula ke Eglon. Mereka mengepung kota itu lalu menyerangnya.