12. Pada hari TUHAN memberikan kemenangan kepada umat Israel terhadap orang Amori, Yosua bercakap dengan TUHAN. Di hadapan umat Israel Yosua berkata,“Hai matahari, berhentilah di atas Gibeon.Hai bulan, berhentilah di atas Lembah Ayalon.”
13. Matahari berhenti dan bulan pun tidak bergerak sehingga umat Israel telah mengalahkan musuh mereka. Kisah ini tertulis di dalam Kitab Yasar. Matahari berhenti di tengah-tengah langit sehari suntuk, dan lama sekali barulah matahari terbenam pada hari itu.
14. Baik pada masa lampau mahupun sejak hari itu, hal seperti itu tidak pernah berlaku apabila TUHAN menurut keinginan manusia. Pada hari itu TUHAN berperang bagi pihak umat Israel.
15. Selepas itu Yosua dan tenteranya kembali ke perkhemahan di Gilgal.
16. Tetapi lima orang raja Amori itu melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah gua di Makeda.
17. Apabila mereka dijumpai, Yosua diberitahu tempat persembunyian mereka.
18. Yosua berkata, “Gulingkanlah batu-batu besar ke mulut gua itu. Tugaskan beberapa orang pengawal di situ,
19. tetapi jangan kamu berhenti di tempat itu. Kejarlah musuh dan seranglah mereka dari belakang. Jangan biar mereka masuk ke kota mereka! TUHAN, Allah kamu telah memberi kamu kemenangan atas mereka.”
20. Yosua dan umat Israel membunuh orang Amori, walaupun ada beberapa orang yang berjaya menyelamatkan diri di dalam kota mereka sehingga tidak dibunuh.
21. Selepas itu seluruh tentera Israel kembali dengan selamat kepada Yosua di Makeda.Tiada sesiapa pun di negeri itu yang berani bersuara menentang umat Israel.
22. Kemudian Yosua berkata, “Bukalah mulut gua itu dan bawalah lima orang raja itu kepadaku.”
23. Gua itu dibuka dan raja-raja kota Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, dan Eglon dibawa keluar,
24. lalu dihadapkan kepada Yosua. Kemudian Yosua memanggil semua orang Israel berkumpul, lalu memerintah para panglima yang berperang bersama-sama dia, supaya meletakkan kaki mereka pada leher raja-raja itu. Mereka pun berbuat demikian.
25. Setelah itu Yosua berkata kepada para panglimanya, “Jangan takut ataupun tawar hati. Kamu mesti yakin dan berani kerana inilah yang akan dilakukan TUHAN kepada semua musuh kamu.”
26. Kemudian Yosua membunuh raja-raja itu dan menggantung mayat-mayat itu pada lima batang pokok, lalu membiarkan mayat di situ sehingga senja.