Yohanes 8:37-55 Alkitab Berita Baik (BM)

37. Aku tahu kamu keturunan Abraham. Namun kamu berusaha untuk membunuh Aku, kerana kamu tidak mahu menerima ajaran-Ku.

38. Aku mengatakan apa yang ditunjukkan oleh Bapa-Ku kepada-Ku, sedangkan kamu melakukan apa yang diajarkan oleh bapa kamu.”

39. Mereka menjawab, “Bapa kami Abraham.”Tetapi Yesus berkata, “Jika kamu benar-benar anak-anak Abraham, tentu kamu akan melakukan apa yang dilakukan oleh Abraham.

40. Yang Aku lakukan hanyalah memberitahu kamu kata-kata benar yang diberitahukan oleh Allah kepada-Ku. Namun kamu mahu membunuh Aku. Abraham tidak pernah berbuat demikian!

41. Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapa kamu.”Mereka menjawab, “Kami bukan anak haram. Bapa kami hanya satu, iaitu Allah sendiri.”

42. Yesus berkata kepada mereka, “Seandainya Allah benar-benar Bapa kamu, tentu kamu akan mengasihi Aku, kerana Aku datang daripada Allah. Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi Dialah yang mengutus Aku.

43. Mengapa kamu tidak memahami apa yang Aku katakan? Hal itu demikian kerana kamu tidak tahan mendengar ajaran-Ku.

44. Bapa kamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih suka menurut kehendak bapa kamu. Sejak permulaan, Iblis itu pembunuh. Dia tidak pernah memihak kebenaran, kerana tidak ada kebenaran padanya. Apabila Iblis berdusta, hal itu memang sudah sewajarnya, kerana dia pendusta dan asal segala dusta.

45. Tetapi Aku mengatakan apa yang benar. Itulah sebabnya kamu tidak percaya kepada-Ku.

46. Siapakah antara kamu dapat membuktikan bahawa Aku berdosa? Jika Aku mengatakan apa yang benar, mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku?

47. Orang yang berasal daripada Allah mendengar firman Allah. Tetapi kamu bukan daripada Allah, itulah sebabnya kamu tidak mahu mendengar firman-Nya.”

48. Orang Yahudi di situ berkata, “Memang betul apa yang kami katakan; kamu orang Samaria yang dirasuk syaitan.”

49. Yesus berkata, “Aku tidak dirasuk syaitan. Aku menghormati Bapa-Ku, tetapi kamu menghina Aku.

50. Aku tidak mencari kehormatan bagi diri-Ku sendiri. Tetapi ada satu yang menghendaki supaya Aku dihormati dan Dia akan menghakimi dengan adil.

51. Apa yang Aku katakan ini benar: Orang yang taat kepada ajaran-Ku tidak akan mati.”

52. Orang Yahudi di situ berkata kepada Yesus, “Sekarang kami tahu bahawa kamu benar-benar dirasuk syaitan! Abraham sudah mati; begitu juga semua nabi. Tetapi kamu berkata, ‘Orang yang taat kepada ajaran-Ku tidak akan mati.’

53. Abraham bapa kami sudah mati. Adakah kamu lebih besar daripada Abraham? Begitu juga semua nabi sudah mati. Pada sangkamu siapakah kamu ini?”

54. Yesus menjawab, “Jika Aku mencari kehormatan untuk diri-Ku sendiri, kehormatan itu tidak berguna. Yang menghormati Aku ialah Bapa-Ku yang kamu anggap sebagai Allah kamu.

55. Kamu tidak mengenal Dia, tetapi Aku mengenal Dia. Jika Aku berkata Aku tidak mengenal Dia, Aku pendusta seperti kamu. Aku mengenal Dia dan Aku mentaati firman-Nya.

Yohanes 8