35. Para penguasa Yahudi berkata sesama sendiri, “Ke manakah dia mahu pergi sehingga kita tidak dapat menjumpai dia? Adakah dia mahu pergi kepada orang Yahudi yang tinggal di luar negeri antara orang bukan Yahudi, lalu mengajar mereka?
36. Apakah yang dimaksudkan-Nya apabila Dia berkata bahawa kita akan mencari dia, tetapi tidak dapat menjumpainya, dan bahawa kita tidak boleh pergi ke tempat dia berada?”
37. Pada hari terakhir perayaan itu, dan juga hari yang paling penting, Yesus berdiri lalu berkata dengan suara lantang, “Sesiapa yang dahaga hendaklah datang kepada-Ku untuk minum.
38. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dari dalam hatinya akan memancar mata air yang memberikan hidup.’ ” (
39. Yesus berkata-kata tentang Roh Allah, yang akan diterima oleh orang yang percaya kepada-Nya. Pada masa itu, Roh Allah belum diberikan, kerana Yesus belum dipermuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya.)
40. Beberapa orang yang mendengar kata-kata Yesus berkata, “Orang ini pasti Nabi itu!”
41. Yang lain berkata, “Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah!”Tetapi yang lain pula berkata, “Penyelamat yang diutus oleh Allah tidak datang dari Galilea!
42. Di dalam Alkitab tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Raja Daud dan akan dilahirkan di kota Betlehem tempat asal Raja Daud.”
43. Akhirnya orang berpihak-pihak kerana Yesus.
44. Beberapa orang hendak menangkap Dia, tetapi tidak seorang pun memegang-Nya.
45. Apabila pengawal-pengawal Rumah Tuhan yang disuruh pergi untuk menangkap Yesus datang kembali, ketua-ketua imam dan orang Farisi bertanya, “Mengapakah kamu tidak membawa dia ke mari?”
46. Para pengawal itu menjawab, “Belum pernah seseorang berkata-kata seperti dia!”
47. Orang Farisi di situ berkata, “Adakah dia menyesatkan kamu pula?
48. Pernahkah kamu dengar seorang daripada penguasa kita atau orang Farisi yang percaya kepadanya?
49. Orang ramai ini tidak mengenal Taurat Musa. Oleh itu terkutuklah mereka!”