Yohanes 12:26-34 Alkitab Berita Baik (BM)

26. Sesiapa yang mahu mengabdikan diri kepada-Ku harus mengikut Aku, supaya dia boleh bersama-sama Aku di tempat Aku berada. Bapa-Ku akan menghormati orang yang mengabdikan diri kepada-Ku.”

27. “Hati-Ku gelisah. Apa yang akan Aku katakan? Haruskah Aku berkata, ‘Bapa, jauhkanlah Aku daripada saat penderitaan ini’? Tidak. Aku datang justeru untuk mengalami saat penderitaan ini.

28. Ya Bapa, tunjukkanlah kemuliaan-Mu!”Kemudian terdengar suara dari langit berkata, “Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.”

29. Orang ramai di situ mendengar suara itu. Mereka berkata, “Guruh!” Tetapi ada juga yang berkata, “Bukan! Malaikat berkata-kata kepada-Nya!”

30. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Suara itu terdengar bukan untuk kepentingan-Ku, tetapi untuk kepentingan kamu.

31. Tibalah saatnya dunia dihakimi; sekarang penguasa dunia ini akan digulingkan.

32. Apabila Aku ditinggikan di atas bumi, Aku akan memimpin semua orang kepada-Ku.”

33. Dengan kata-kata-Nya ini, Yesus menunjukkan cara Dia akan mati.

34. Orang ramai berkata kepada-Nya, “Taurat kami mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu dapat berkata bahawa Anak Manusia harus ditinggikan di atas bumi? Siapakah Anak Manusia itu?”

Yohanes 12