5. Siria telah berkomplot dengan Israel dan rajanya.
6. Mereka hendak menyerang Yehuda dan menakut-nakutkan penduduknya supaya berpihak kepada mereka, lalu melantik anak lelaki Tabeel menjadi raja.
7. Tetapi Aku, TUHAN, berfirman bahawa perkara ini sekali-kali tidak akan berlaku,
8. kerana Siria tidak lebih kuat daripada Damsyik, ibu kotanya, dan Damsyik pun tidak lebih kuat daripada Raja Rezin. Sedangkan dalam masa enam puluh lima tahun, Israel akan berpecah belah sehingga tidak dapat bertahan sebagai satu bangsa.
9. Israel tidak lebih kuat daripada Samaria, ibu kotanya, dan Samaria pun tidak lebih kuat daripada Raja Pekah.Jika kamu tidak sungguh-sungguh percaya kepada-Ku, pasti kamu akan jatuh.”
10. TUHAN menyampaikan satu lagi perkhabaran kepada Raja Ahas.
11. “Mintalah supaya TUHAN, Allahmu memberikan satu tanda kepadamu, sama ada dari dunia orang mati di bawah, atau dari langit di atas.”
12. Raja Ahas menjawab, “Beta tidak mahu meminta tanda. Beta tidak mahu menguji TUHAN.”
13. Lalu Yesaya berkata, “Dengarlah baik-baik, hai keturunan Raja Daud. TIdak cukupkah tuanku menguji kesabaran manusia? Mestikah tuanku menguji kesabaran Allah hamba juga?
14. Baiklah, Tuhan sendiri akan memberikan tanda kepada tuanku: seorang gadis yang mengandung akan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakannya ‘Imanuel.’
15. Apabila anak itu cukup dewasa untuk membuat keputusannya sendiri, negeri itu akan makmur.
16. Bahkan sebelum masa itu tiba, negeri kedua-dua orang raja yang tuanku takuti akan ditinggalkan kosong.
17. TUHAN akan mendatangkan raja Asyur, lalu tuanku dan semua keluarga tuanku serta rakyat akan mengalami bencana yang lebih dahsyat daripada apa yang pernah berlaku sejak Israel terpisah dari Yehuda.
18. Pada masa itu TUHAN akan bersiul sebagai tanda untuk memanggil tentera Mesir yang datang seperti kawanan lalat dari hujung Sungai Nil, dan tentera Asyur yang datang seperti kawanan lebah dari negeri mereka.
19. Mereka akan mengerumuni lembah-lembah yang curam, celah-celah bukit batu, dan tiap-tiap belukar duri serta padang rumput.